Anda di sini

Jambori Mountain Bike Batang Ai Sarawak Energy ada tarikan tersendiri

Advertisement
 Sharbini (tiga kanan) dan Doris bersama-sama melepaskan perlumbaan.
BERMULA: Sharbini (tiga kanan) dan Doris bersama-sama melepaskan perlumbaan.

JAMBORI Mountain Bike Batang Ai Sarawak Energy berpotensi meletakkan nama Sarawak di peta dunia sebagai lokasi perlumbaan berbasikal lasak berprestij.

Ini kerana acara tahunan anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) itu dilihat mampu menarik pelumba luar negara untuk turut serta kerana lokasinya yang unik.

Terletak di Empangan Hidro Batang Ai - empangan tertua di Sarawak - jambori bermula sejak 2016 itu semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat mountain bike tempatan.

Pelumba bukan sahaja perlu mempamerkan kemahiran untuk menempuhi trek lasak dan becak dalam hutan belantara, malah ketahanan fizikal dan mental mereka turut diuji ketika menyusuri bukit berbatu.

Namun, apa yang lebih mengujakan bagi setiap pelumba adalah mereka berpeluang melihat pemandangan indah di tasik Empangan Hidro Batang Ai.

Jambori Mountain Bike Batang Ai Sarawak Energy dianjur bagi mempromosi aktiviti ekopelancongan dan rekreasi sepanjang kawasan tasik di empangan hidro,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB), Sharbini Suhaili semasa menutup Jambori Mountain Bike Batang Ai Sarawak Energy pada Ahad lepas.

Perlumbaan ini menguji ketahanan dan kemahiran peserta mengendalikan basikal di mana mereka turut diuji ketika mengharungi laluan lasak dan berbukit sambil menikmati litupan kanopi hutan.”

Bertemakan ‘Riding Into The Green’, jambori itu dianjur buat kali kedua selepas sambutan menggalakkan terhadap edisi pertama pada tahun lepas.

Ia disertai lebih 150 peserta yang mewakili pelbagai kelab berbasikal tempatan dan warga SEB sendiri.

Menurut salah seorang pelumba Maulana Ahmad, jambori itu berpotensi diangkat sebagai perlumbaan antarabangsa namun treknya perlu dipanjangkan lagi dan diubah suai agar lebih mencabar, sesuai dengan statusnya sebagai perlumbaan bertaraf dunia kelak.

Bagi pemenang kategori Terbuka Lelaki (Tertutup Sarawak), Jacobus Gerstner dari Afrika Selatan, jambori itu cukup mencabar fizikal dan mental beliau.

Ini kali pertama saya menyertai jambori ini. Saya sangat berpuas hati dengan treknya yang begitu mencabar dan akan kembali semula pada tahun depan,” ujar penuntut Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak itu.

Juara kategori Terbuka Wanita (Tertutup Sarawak), Nur Azrenna Ahmad turut sependapat dengan Jacobus sambil menyifatkan penganjuran jambori itu satu kejayaan.

Sejajar dengan laungan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah untuk menggiatkan industri pelancongan sukan di Sarawak, maka penaik tarafan jambori itu kepada perlumbaan antarabangsa dilihat wajar dan tepat pada masanya.

Sudah tentu ia memerlukan perancangan yang teliti dan kerjasama dari pelbagai pihak untuk memastikan ia dianjur mengikut standard yang ditetapkan badan berbasikal dunia.

Namun, kejayaan penganjuran dua edisi sebelum ini memperlihatkan kredibiliti serta keupayaan SEB untuk membawa penganjuran perlumbaan berbasikal dunia itu di sini satu hari kelak.

 Para pelumba berkayuh sepanjang laluan empangan.
IKONIK: Para pelumba berkayuh sepanjang laluan empangan.
 Laluan becak mencabar kemahiran berbasikal para pelumba.
HATI-HATI: Laluan becak mencabar kemahiran berbasikal para pelumba.
  • oleh
  • Advertisement