Anda di sini

Harvey kembali membadai Texas, Louisiana

Advertisement

Taufan yang menyebabkan 17 maut sejak Jumaat lalu muncul semula burukkan keadaan

 Sebuah kereta polis berkawal di jalanan selepas perintah berkurung diumumkan di Houston, Texas susulan kemaraan Harvey. — Gambar AFP
LENGANG: Sebuah kereta polis berkawal di jalanan selepas perintah berkurung diumumkan di Houston, Texas susulan kemaraan Harvey. — Gambar AFP

HOUSTON: Taufan Tropika Harvey dijangka tiba di daratan sekali lagi semalam dekat sempadan Texas-Louisiana, menambah lebih banyak hujan selepas hujan yang memecah rekod dan menyebabkan bencana banjir selain melumpuhkan bandar raya Houston.

Taufan yang mula-mula tiba di daratan Jumaat lepas sebagai hurikan paling kuat pernah melanda Texas dalam tempoh lebih 50 tahun sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, memaksa puluhan ribu penduduk untuk meninggalkan rumah yang ditenggelami air banjir dan menyebabkan kerosakan yang dianggarkan puluhan bilion dolar, menjadikannya salah satu bencana alam paling mahal di Amerika Syarikat (AS).

Sedikit kelegaan dijangkakan bagi Houston, bandar raya dengan jumlah penduduk keempat paling ramai di AS, dan peramal keadaan cuaca berkata hujan lebat selama lima hari mungkin akan berakhir apabila taufan yang berlegar-legar di Teluk Mexico, bergerak semakin laju dan meninggalkan rantau itu pada lewat petang.

Harvey dijangka menghasilkan hujan selebat enam hingga 12 inci ke utara dan timur Houston apabila ia bergerak ke barat daya Louisiana.

Ia diramal akan reda ketika ia bergerak ke pedalaman di timur laut dan berada di ruang udara Mississippi pada Khamis (waktu tempatan), kata Khidmat Cuaca Negara.

Namun hampir satu pertiga Harris County, yang menempatkan Houston, ditenggelami air, sebuah kawasan 15 kali saiz Manhattan, menurut akhbar Houston Chronicle.

Pegawai bandar raya sedang bersiap sedia untuk menempatkan kira-kira 19,000 orang buat sementara waktu, dengan ribuan lagi dijangka akan meninggalkan kediaman mereka.

Setakat pagi kelmarin, hampir 50,000 kediaman mengalami kerosakan akibat banjir, kata pegawai Texas, dan jumlah itu pasti akan meningkat.

Datuk Bandar Houston Sylvester Turner mengu-mumkan perintah berkurung mulai jam 12 tengah malam hingga 5 pagi susulan laporan penjarahan, rompakan bersenjata dan orang menya-mar sebagai anggota polis.

Presiden AS Donald Trump melawat Texas kelmarin untuk meninjau kerosakan dalam bencana alam besar pertama yang menguji kepimpinannya dalam krisis.

Banjir luar biasa itu menenggelami puluhan kejiranan hingga ke paras dada dan menegangkan empangan dan sistem perparitan yang melindungi kawasan metropolitan rendah di Houston dengan ekonomi kira-kira sebesar ekonomi Argentina.

Harvey telah menarik perbandingan dengan Taufan Katrina, yang memusnahkan New Orleans 12 tahun lalu, membunuh 1,800 orang dan menyebabkan kerosakan yang dianggarkan bernilai AS$108 bilion (RM486 bilion).

Di kalangan mangsa yang disahkan mati adalah Sarjan Polis Houston, Steve Perez, veteran polis selama 34 tahun yang mati lemas ketika dia cuba memandu ke tempat kerja pada Ahad lepas.

Di Beaumont, ke timur laut Houston, seorang wanita yang memeluk bayi perempuannya dihanyutkan air deras.

Bayi tersebut terselamat tetapi si ibu maut, kata polis Beaumont.

Ruben Jordan, seorang jurulatih bola sepak sekolah tinggi yang sudah bersara, terkorban ketika dia membantu menyelamatkan orang yang terperangkap dalam air tinggi, kata Daerah Sekolah Bebas Clear Creek. 

Pada keseluruhannya, 17 orang sudah terkorban, menurut pegawai kerajaan dan media tempatan.

Bot dan unit udara Pengawal Pantai AS menyelamatkan lebih 4,000 orang.

Pusat Hurikan Negara (NHC) pada petang kelmarin berkata hujan selebat 51.88 inci sudah turun di Texas disebabkan oleh Harvey, satu rekod bagi sebarang taufan di benua AS.

Ini memecah rekod lama 48 inci yang dicipta sewaktu taufan tropika Amelia pada 1978 di Medina, Texas, kata NHC. Medina terletak ke barat San Antonio.

Pulau Kauai pernah dilanda hujan selebat 52 inci dari siklon tropika Hiki pada 1950, sebelum Hawaii menjadi negeri AS. — Reuters

Advertisement