Anda di sini

Bomoh warga Indonesia nafi rogol pesakit wanita

Advertisement
 Tertuduh dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Sibu selepas sebutan kes semalam.
KE MUKA PENGADILAN: Tertuduh dibawa keluar daripada Mahkamah Majistret Sibu selepas sebutan kes semalam.

SIBU: Seorang bomoh warga Indonesia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan merogol dan melakukan hubungan sulit dengan objek terhadap seorang wanita yang mendapatkan khidmatnya untuk rawatan sakit perut.

Tertuduh, Marhaji Madjiri, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibaca kepadanya pagi semalam.

Hakim Caroline Bee Jackson membebaskannya dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan dia melaporkan diri ke balai sebulan sekali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2) dan (F) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol wanita berusia 20 tahun antara jam 11.30 malam dan 11.59 malam pada 21 Ogos di bilik rumah mangsa di Sibu Jaya.

Tuduhan kedua mengikut Seksyen 377D kanun yang sama kerana melakukan hubungan seksual dengan menggunakan objek di mana dia telah memasukkan jari ke alat sulit mangsa pada masa dan tempat yang sama.

Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa telah dirawat di hadapan ibu dan ibu saudaranya di sebuah bilik di rumah mangsa.

Bomoh terbabit kemudian meminta mangsa untuk mandi namun mangsa menolak pada mulanya, tetapi akhirnya terpaksa bersetuju kerana bimbang ibunya akan memarahinya.

Insiden rogol itu dipercayai berlaku di dalam bilik mandi.

Tertuduh sebelum itu juga menghadapi tuduhan lain di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 377D Kanun yang sama kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dan melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa.

Majistret Saifol Ayoti membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin.

Saifol juga mengarahkan agar pasport milik Marhaji ditahan dan mahkamah menetapkan 19 September untuk sebutan semula kes.

Advertisement