Anda di sini

Suami dipenjara setahun bersalah cedera isteri

Advertisement

SIBU: Seorang suami dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh mahkamah di sini semalam atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Sarip Moli, 29, didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Stephenie Stang, 29, di luar pagar rumah bernombor 4H, Jalan Merlin Lorong 2 pada 23 Ogos, 2017, jam lebih kurang jam 8 malam.

Bagi pertudunan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, Sarip telah menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain, namun dinafikan mangsa.

Mendengar penafian isterinya itu, tertuduh menjadi marah dan mula bertindak memukulnya.

Tertuduh kemudian menarik anak lelaki mereka berusia lima tahun keluar dari rumah membawanya pergi namun cuba dihalang isterinya.

Mangsa kemudian ditolak oleh suaminya menyebabkan dia terjatuh di atas jalan. Pada masa sama, dia sempat berpaut pada kaki sebelah kanan tertuduh.

Melihat perbuatan isterinya itu, tertuduh bertindak menendang mangsa di bahagian dada menggunakan kaki kanan.

Mangsa turut mengalami kecederaan di kedua-dua belah lutut, siku, tangan kanan dan dada akibat kejadian itu.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, polis berjaya menahan tertuduh di luar Balai Polis Kapit pada 24 Ogos lalu pada lebih kurang jam 3.15 petang.

Advertisement