Anda di sini

Rakyat Jepun dikejutkan misil Utara

Advertisement
 Skrin TV gergasi menunjukkan berita mengenai pelancaran misil Korea Utara di Tokyo, semalam. — Gambar Reuters
MENGEJUTKAN: Skrin TV gergasi menunjukkan berita mengenai pelancaran misil Korea Utara di Tokyo, semalam. — Gambar Reuters

TOKYO: Jutaan rakyat Jepun dikejutkan mesej teks mengerikan semalam yang memberi amaran kepada mereka agar berlindung ketika sebutir misil Korea Utara dilancarkan di ruang angkasa, dengan satu pengusaha kereta api menjelaskan perkhidmatannya tertangguh atas alasan ‘Pelancaran misil balistik’.

Siren kedengaran di sekitar komuniti utara yang dalam laluan penerbangan misil balistik itu ketika ia menjangkaui wilayah Jepun selama dua minit sebelum terhempas di Laut Pasifik.

“Misil lalu, misil lalu,” menurut mesej teks rasmi yang memberi amaran kepada penduduk di utara Jepun.

“Baharu sahaja tadi satu misil telah melalui ruang udara kawasan ini.

“Sekiranya anda menemui objek mencurigakan, tolong jangan hampiri dan segera hubungi polis atau bomba.

“Sila berlindung dalam bangunan yang selamat atau di bawah tanah.”

Pelancaran Korea Utara ke arah negara jiran Jepun, sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dan bekas penjajah perang Korea, menandakan peningkatan ketegangan oleh Pyongyang di sebalik pertikaian mengenai cita-cita nuklearnya.

Buat kali pertama, ia menim-bulkan kebimbangan sebenar kepada rakyat Jepun.

Orang ramai di wilayah paling utara Hokkaido disambut papan tanda amaran di stesen kereta api di mana banyak perkhidmatan tertangguh.

Di sebuah stesen metro di Sapporo, bandar utama dengan hampir dua juta penduduk, orang ramai diberi amaran perkhidmatan akan tertangguh.

“Semua laluan mengalami gangguan.

“Punca: Pelancaran misil balistik,” menurut amaran.

Orang ramai pantas mematuhi mesej kerajaan.

“Beberapa penumpang turun ke bawah untuk berlindung di beberapa stesen bawah tanah,” kata jurucakap metro Sapporo.

Yang lain tiada pilihan melainkan meneruskan kerja mereka seperti biasa, termasuk kru kira-kira 15 kapal nelayan yang sudahpun meninggalkan pelabuhan luar pantai selatan Hokkaido dan berada di kawasan di bawah laluan misil.

“Saya terkejut ia melintasi kawasan kami.

“Kejadian seperti ini tidakk pernah berlaku sebelum ini,” kata pegawai koperasi perikanan tempatan Hiroyuki Iwafune.

“Saya bimbang, begitu juga yang lain. Tetapi apa yang boleh kami lakukan? Berlindung? Di mana?

“Kami memaklumkan perkara tersebut kepada nelayan di laut tetapi kemudian mereka berkata, ‘Walaupun dengan amaran ini, apa yang boleh kami lakukan?’,” tambah Iwafune.

Di Tokyo, lebih 700 kilometer selatan laluan penerbangan misil, beberapa perkhidmatan kereta api ditangguhkan sementara.

“Ketika ini, sebutir misil Korea Utara sedang melalui ruang udara Jepun.

“Ia amat berbahaya. Tolong berlindung di kawasan menunggu atau di dalam kereta api,” menurut pengumuman di stesen kereta api peluru, beberapa minit selepas pelancaran.

Yoshiaki Nakane, 68, pesara penjawat awam, khuatir pelancaran provokatif Pyongyang akan memburukkan lagi hubungan yang sudah sedia tegang antara AS dan Korea Utara.

“Korea Utara kerapkali melancarkan misil dan nampaknya tidak mengambil serius sebarang amaran.

“Saya berharap AS tidak akan bertindak terlalu tegas dan menimbulkan masalah.

“Jepun dan Korea Selatan yang akan menerima akibatnya,” tambah beliau.

Di pangkalan tentera AS di Tokyo semalam, Jepun mengerahkan sistem pertahanan misil Patriot Advanced Capability-3 (PAC-3) sebagai sebahagian daripada latihan yang sudah dijadualkan.

Kali terakhir roket Korea Utara melalui Jepun adalah pada 2009, di mana Pyongyang mendakwa ia adalah pelancaran satelit.

Namun Washington, Seoul dan Tokyo percaya ia adalah ujian awal misil balistik antara benua (ICBM).

Jepun sebelum ini me-nyiarkan iklan perkhidmatan awam dan mengadakan latihan kecemasan untuk bersiap sedia menghadapi ancaman daripada jirannya yang tidak stabil itu.

Pelajar universiti Tokyo Julia Kotake, 18, mengakui khuatir misil Korea Utara akan mengenai Jepun suatu hari nanti.

“Tetapi saya tidak fikir kami boleh melakukan sesuatu,” katanya. — AFP

Advertisement