Anda di sini

Kursus Pemantapan Kemahiran Sukarelawan Zon Utara 2017 berakhir dengan jayanya

Advertisement
__alt__

KURSUS Pemantapan Kemahiran Sukarelawan Zon Utara 2017 melabuhkan tirainya pada 20 Ogos lalu setelah siri zon selatan dan tengah berjaya dilaksanakan sebelumnya.

Kursus yang dianjurkan oleh Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu dengan kerjasama Sukarelawan Kebajikan JKM Bintulu bermula pada 17 hingga 20 Ogos lalu di Hotel Green & Suites Bintulu telah dihadiri seramai 70 sukarelawan kebajikan dari Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas.

Ketua Pasukan Sukarelawan Kebajikan JKM Bintulu, Kederi Yusof berkata, pelbagai program telah diadakan dalam kursus itu membabitkan ‘ice breaking’, pembahagian kumpulan, ceramah Psikologi Perkembangan Manusia, Kemahiran Asas Kaunseling, Praktikum Kaunseling, Komunikasi, ‘Abnormal Psychology An Introduction’, acara ‘treasure hunt’

di Tanjung Batu Bintulu dan sebagainya.

Katanya, untuk ceramah telah dikendalikan oleh Pegawai Psikologi JKM Bintulu, Remmy William Minggu, Pegawai Psikologi Hospital Bintulu, Awat Jawa dan Pegawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Mohamad Abdul Rahim Habib.

Selain itu katanya, majlis makan malam bagi meraikan peserta kursus turut diadakan dan acara simbolik penyerahan bendera Sukarelawan Kebajikan JKM Bintulu telah disempurnakan oleh Ketua Cawangan Pembangunan Komuniti Sukarelawan JKM Sarawak mewakili Pengarah JKM Sarawak, Irene Andrew kepada Ketua Kontinjen Perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Suarah Bintulu pada 31 Ogos 2017 iaitu Kederi Yusof merangkap Ketua Pasukan Sukarelawan Kebajikan JKM Bintulu.

Katanya, majlis makan malam yang bertemakan Bollywood menyaksikan gelaran ‘Queen and The King of the year’ telah disandang oleh Jenny Renit dan Reduan Kamarudin yang merupakan sukarelawan kebajikan dan kakitangan pejabat JKM Bintulu.

Turut hadir pada majlis penutupan tersebut Pegawai Kebajikan Masyarakat Bintulu Taddy Ajin, Penolong Pegawai Pembangunan Komuniti Sukarelawan JKM Bintulu Mohamad Khairul Mukhsin Sadim dan agensi-agensi lain.

Advertisement