Anda di sini

Kim sambut anak ketiga Feb lalu, lapor Korea Selatan

Advertisement

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un menjadi bapa sekali lagi, kata laporan semalam, setelah isterinya tidak muncul di khalayak ramai selama beberapa bulan.

Wanita Pertama Ri Sol-ju melahirkan anak ketiga mereka pada Februari lalu, agensi berita Yonhap melaporkan semalam, memetik kata penggubal undang-undang Korea Selatan yang diberi taklimat oleh Khidmat Perisikan Negara.

Ri tidak kelihatan bagi tempoh yang lama tahun lepas, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau mungkin mengandung.

Berita mengenai bayi yang baharu lahir itu muncul ketika Korea Utara melepaskan misil balistik ke atas ruang utara Jepun.

Menurut laporan perisikan pada masa lalu dari agensi pengintipan di Seoul, Ri mengahwini Kim pada 2009 dan melahirkan anak pertama mereka pada tahun berikutnya, manakala anak kedua mereka lahir pada 2013.

Kim merupakan generasi ketiga dalam dinastinya yang memerintah Korea Utara, tetapi tidak banyak yang telah didedahkan mengenai keluarga pertama di negara itu.

Bekas bintang NBA Dennis Rodman, selepas dia melawat Korea Utara pada 2013, satu-satunya sumber maklumat mengenai anak kedua pasangan itu, seorang bayi perempuan bernama Ju-ae.

Sambil memberitahu dia mengendong anak perempuan Kim, Rodman menggambarkan pemimpin Korea Utara itu sebagai seorang bapa yang baik dan mempunyai sebuah keluarga yang baik.

Walaupun lebih kepada personaliti awam berbanding bapanya Kim Jong-il yang tidak suka bergaul, maklumat peribadi Kim sendiri masih tidak banyak diketahui.

Malah hari jadinya yang sebenar dan tarikh perkahwinannya belum lagi disahkan.

Laporan perisikan Korea Selatan menggambarkan Ri berasal daripada sebuah keluarga biasa, dengan bapanya ahli akademik dan ibunya doktor.

Dia melawat Korea Selatan pada 2005 sebagai ketua pasukan sorak untuk skuad negaranya pada Kejohanan Olahraga Asia. — AFP

Advertisement