
SANDAKAN: Sokongan masyarakat Cina kepada kerajaan dalam pelbagai program dan pembangunan khususnya di kawasan Elopura semakin baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Elopura Datuk Au Kam Wah berkata selain meraikan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, pelbagai program diadakan sebagai pengisian untuk menyambut Hari Kemerdekaan.
“Selain mengadakan program kemerdekaan, kita juga menganjurkan program di Pasar Kim Fung ini di mana ramai masyarakat tidak kira kaum dan bangsa dari sekitar daerah ini turut bersama-sama dan sambutan begitu baik sekali.
“Jadi, ini bermakna rakyat secara keseluruhan sebenarnya sangat menyokong apa juga program atau sebarang pembangunan yang diadakan untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Persembahan Pertukaran Kebudayaan dan Kesenian Malaysia Sabah-China sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 Malaysia di Pasar Kim Fung, Batu 4, di sini malam Sabtu.
Program yang bermula jam 6.30 petang hingga 9 malam itu adalah anjuran Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sandakan.
“Hari ini kita berasa bangga kerana sekali lagi kita akan menyambut Hari Merdeka dan juga Hari Malaysia di mana, kita nampak hari ini seluruh masyarakat yang berbilang kaum dapat bersama-sama menyaksikan program yang khas dipersembahkan di Pasar Kim Fung setiap malam Sabtu.
“Hari ini ada istimewa sedikit iaitu persembahan muzikal dari China melibatkan lebih 15 orang. Mereka datang untuk mengadakan program pertukaran kebudayaan dan kesenian di sini. Jadi mereka mengambil kesempatan ini membuat satu persembahan untuk rakyat Sandakan.
“Selain seluruh rakyat Malaysia merayakan Hari Kemerdekaan, mereka juga dapat menyaksikan sendiri betapa pentingnya rakyat dan negara kita menyambut Hari Kemerdekaan,” katanya.
Dalam pada itu, Au juga memberitahu bahawa pada minggu depan, satu lagi program akan diadakan di sini iaitu Festival Makanan 2017.