Anda di sini

PERANAK perjuang adat dan budaya Dayak

Advertisement
 Jerry (tengah) bersama tetamu lain ketika dijemput menghadiri majlis.
TETAMU JEMPUTAN: Jerry (tengah) bersama tetamu lain ketika dijemput menghadiri majlis.

PERTUBUHAN Anak Dayak Sarawak (PERANAK) mahu dikenali sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan adat dan budaya masyarakat Dayak di negeri ini.

PERANAK yang diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2015, tidak mahu dilihat sebagai sebuah NGO Dayak yang terlibat dengan unsur-unsur politik seperti NGO-NGO Dayak yang lain.

Pengerusi PERANAK, Spencer Musa berkata, objektif utama penubuhan PERANAK adalah untuk mengembang serta menyambung adat dan budaya masyarakat Dayak agar tidak terus terpinggir atau dilupakan dalam arus pembangunan.

Kita mahu agar adat dan budaya seperti ngajat, ‘berbiau’ dan sebagainya ini diwarisi oleh generasi muda Dayak pada hari ini dan pada masa akan datang,” ujarnya kepada pemberita, baru-baru ini.

Menurut Spencer, PERANAK juga tidak mahu dilihat seperti NGO-NGO Dayak yang lain, yang perjuangan mereka lebih berunsur kepada politik serta menentang kerajaan.

Menerusi PERANAK katanya, beliau berharap dapat menjadi jambatan yang menghubungkan golongan muda dengan kerajaan, lebih-lebih lagi dalam aspek adat dan budaya.

Sementara itu, PERANAK telah berjaya menganjurkan kelas tarian ngajat untuk wanita selama tiga bulan yang berakhir baru-baru ini.

Kelas ngajat siri pertama itu telah disertai oleh 10 peserta, yang rata-rata adalah golongan belia.

Sehubungan itu, satu majlis tamat kelas telah diadakan baru-baru ini di sebuah restoran di Sibu, yang dihadiri oleh Penolong Pegawai Penguat kuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Jerry Lenggir.

Hadir sama ialah Lemambang Clement Minda, artis veteran Bumi Kenyalang Alfred Mawi serta guru kelas ngajat Daisy Helen.

Menurut Spencer, kelas ngajat selama tiga bulan itu akan diteruskan lagi bermula pada 3 September ini, untuk lelaki dan wanita.

Bagi kelas ngajat lelaki untuk sesi pertama ini telah penuh. Namun mereka yang berminat boleh mendaftar untuk sesi kelas kedua nanti.

Sementara bagi kelas ngajat wanita, penyertaan masih terbuka untuk sesi kedua ini,” ujarnya sambil menambah kelas diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, dari jam 2 petang hingga 4 petang di Kampung Sentosa, Salim.

Untuk kelas ngajat lelaki, peserta akan diajar oleh Lembambang Clement Minda sementara Daisy Helen bagi kelas ngajat wanita.

Bagi yang berminat menyertai kelas ngajat, boleh menghubungi Spencer di talian 019-4862655.

Beliau juga memberitahu, PERANAK juga merancang menganjurkan kelas berbiau dan kelas bermain alat muzik tradisional pada masa akan datang.

PERANAK kini mempunyai lebih 100 ahli, dengan rata-rata ahli adalah daripada kalangan belia.

 Peserta kelas ngajat lengkap berpakaian tradisional selepas membuat persembahan.
WARIS: Peserta kelas ngajat lengkap berpakaian tradisional selepas membuat persembahan.
 Jerry (tiga kanan) melakukan upacara ‘miring’ sambil diperhatikan oleh Spencer (dua kanan) serta tetamu lain.
TRADISI: Jerry (tiga kanan) melakukan upacara ‘miring’ sambil diperhatikan oleh Spencer (dua kanan) serta tetamu lain.
  • oleh
  • Advertisement