Anda di sini

Pengusaha stesen minyak didenda RM11,000 gagal kemuka penyata GST

 Neoh hadir di Mahkamah Sesyen dekat Alor Setar, semalam selepas mengaku bersalah gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan. — Gambar Bernama
MENGAKU BERSALAH: Neoh hadir di Mahkamah Sesyen dekat Alor Setar, semalam selepas mengaku bersalah gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Sebuah syarikat mengusahakan stesen minyak didenda RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan.

Pengurus syarikat Neoh Eng Koi, 49, membuat pengakuan berkenaan bagi pihak Syarikat Neoh Ah Bah Realty Sdn Bhd selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan. Azman menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan Neoh dipenjarakan tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Syarikat tersebut menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dari April hingga Disember 2015 serta Januari dan April tahun lepas, di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Jalan Lencongan Timur, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani.

Syarikat itu dituduh menurut Seksyen 41(6) Akta GST 2014 yang memperuntukkan hukuman denda tidak  lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diikendalikan Pegawai Pendakwa Unit Tindakan Kriminal Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kedah Karthy Gasedev a/l Deva Rajoo manakala syarikat itu tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement