Anda di sini

Jawatankuasa Pemantau Usahawan Wanita akan ditubuh

Advertisement

BEAUFORT: Satu Jawatankuasa Pemantau Pembangunan Usahawan Wanita bakal diwujudkan di Parlimen Beaufort bagi memantau serta membantu usahawan terutama golongan wanita di kawasan ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh beberapa individu penting seperti pegawai Daerah Beaufort termasuklah usahawan tempatan.

Selain membantu para usahawan wanita, jawatankuasa itu juga akan memainkan peranan dalam memantau sebarang perkembangan membabitkan bantuan ataupun fasiliti daripada kerajaan.

Banyak program pembangunan diwujudkan kerajaan untuk golongan wanita, namun inisiatif murni ini memerlukan sokongan serta pemantauan berterusan bagi memastikan ia mencapai objektifnya.

Terdapat lebih 7,000 usahawan wanita berdaftar di Parlimen Beaufort dan jumlah itu memerlukan satu badan bertindak bagi memastikan perniagaan mereka dapat bertahan, malah mampu berkembang lebih jauh.

Jawatankuasa ini akan dibentuk, sekali gus memulakan mesyuarat pertamanya pada September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Peringkat Parlimen Beaufort 2017, di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir pada Ahad.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada lebih 7,000 usahawan wanita di kawasan ini untuk berjaya sekali gus mampu ke peringkat lebih tinggi.

Kita mahu kalau boleh semua usahawan yang berdaftar ini maju ke hadapan, namun ia mustahil dan atas sebab itu, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada mereka ini dapat menjadi usahawan berjaya.

Walaupun sasaran ini kecil namun bagi saya jika tercapai, ia adalah satu kejayaan besar buat kita kerana memang menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai wanita terbabit dalam bidang profesional di negara ini,” katanya.

Pada majlis itu, Azizah turut menyaksikan acara pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara dua usahawan berjaya dari kawasan ini dengan Mas Arab International FZC, Dubai.

Melalui persefahaman itu, produk kedua-dua usahawan terbabit masing-masing kraf tangan dan bakeri akan dipasarkan di negara Timur Tengah itu melalui syarikat berkenaan.

Advertisement