Pastikan bahasa itu dapat diajar dengan berkesan
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menggesa ahli akademik dan guru supaya mengikuti trend dan inovasi terkini dalam pendidikan bahasa Inggeris bagi memastikan bahasa itu dapat diajar dengan berkesan.
Musa berkata untuk terus maju dalam pengajaran bahasa antarabangsa, mereka yang terlibat dalam bahasa antarabangsa harus mencari jalan dan memperoleh kemahiran yang berkaitan untuk menjadikan pelajaran itu menarik kepada para pelajar.
“Walaupun saya bukan seorang pendidik, (namun) saya percaya pengajaran bahasa Inggeris memerlukan seseorang itu menjadi kreatif dan mempunyai keupayaan menjadikan pelajaran itu menarik terutama dalam bidang di mana bahasa ini tidak digunakan secara meluas.
Keupayaan untuk berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa Inggeris adalah penting dalam dunia tanpa sempadan, yang membolehkan kita berinteraksi dengan warga global menerusi pelbagai platform termasuk internet,” katanya pada majlis persidangan ke-26 Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) di sini hari ini.
Teks ucapan Musa disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Sehubungan itu, Musa berkata adalah penting supaya amalan di bilik darjah kekal relevan dengan keperluan generasi muda dan bagi menyesuaikan diri mereka dengan trend global.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita mengabaikan budaya dan norma-norma tempatan dan gagal menyediakan konteks ini apabila menyebarkan pengetahuan. Ini selaras dengan tema persidangan tahun ini, “New Directions in English Language Education: Global Trends and Local Innovations (Hala Tuju Baharu Dalam Pendidikan Bahasa Inggeris: Trend Global dan Inovasi Tempatan) .” katanya.
Mengenai pendidikan di Sabah, Musa berkata satu daripada fokus kerajaan negeri adalah memastikan pendidikan disediakan untuk kanak-kanak dan lepasan sekolah yang berminat untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi dengan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dalam menangani keperluan pendidikan di seluruh negeri.
Beliau berkata ia termasuk menyediakan pendidikan peringkat rendah di beberapa kawasan pedalaman manakala sekolah menengah lebih besar dengan kemudahan asrama dibina di daerah yang mempunyai komuniti luar bandar yang akan mendapatinya sukar untuk pergi ke sekolah.
Musa mengucapkan tahniah kepada MELTA dan anggota jawatankuasanya atas kejayaan mereka menganjurkan persidangan ini.
“Usaha mendapatkan pendidikan dan berkongsi ilmu pengetahuan menuntut kita untuk tidak mementingkan diri sendiri, dan sentiasa ikhlas agar lebih banyak orang mendapat manfaat daripada pembelajaran, dan dalam hal ini pendidikan yang berkaitan dengan bahasa Inggeris,” kata beliau. — Bernama