Anda di sini

Amal pengurusan cekap untuk tingkat keuntungan: Musa

Advertisement

TAWAU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menasihatkan semua agensi serta syarikat kerajaan negeri untuk mengamalkan pengurusan cekap dan telus agar mampu bertahan dan bersaing dalam meningkatkan keuntungan.

Beliau berkata, pengurusan yang baik akan dapat mengekalkan keuntungan yang konsisten dan dividen dapat dibayar kepada kerajaan negeri serta pinjaman hutang dapat dilunaskan.

Menurut Musa, agensi kerajaan negeri menyerahkan purata setiap tahun sebanyak RM200 juta dividen kepada Kementerian Kewangan hasil daripada pengurusan cekap dan telus dengan memberi contoh syarikat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) yang dapat membayar dividen kepada kerajaan negeri berjumlah RM5 juta pada tahun 2016.

Hasil dividen diterima itu akan digunakan untuk membangunkan negeri serta memberi pulangan manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Loji Biogas BWSB, dekat sini, kelmarin.

Pada majlis itu Musa turut menyaksikan majlis menandatangani dokumen perjanjian projek usaha sama pengeluaran pelet antara syarikat BSWB dengan Global Technology Supports Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengerusi BWSB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata anak syarikat Yayasan Sabah itu berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM42.8 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, jumlah keuntungan itu merekodkan peningkatan 73 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM24.8 juta.

Peningkatan ini akan berterusan lagi dengan semakin luas kawasan tanaman muda kelapa sawit yang mencapai umur matang memasuki fasa matang penuh,” katanya.

Nizam berkata, dengan prestasi konsisten itu membolehkan syarikat tersebut membayar RM17 juta dividen kepada kerajaan negeri dengan pendahuluan RM2 juta telah pun dibayar pada awal tahun ini.

Sementara itu mengulas mengenai projek loji biogas tersebut, Nizam berkata projek itu penting bagi memenuhi syarat untuk mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) agar Kilang Sawit Serayanya dapat menambah kapasiti pemprosesan buah tandan segar (BTS) daripada 45 tan metrik sejam kepada 60 tan metrik sejam.

Peningkatan pemprosesan ini dapat menampung hasil BTS dari ladang-ladang Benta kerana setakat ini sebanyak 280,000 tan metrik setahun dapat diproses kilang dan ini akan bertambah menjadi 345,000 tan metrik setahun apabila kelulusan diperoleh dari MPOB yang sekali gus bakal memberikan hasil tambahan sekitar 30 peratus iaitu RM9 juta setahun kepada BWSB,” katanya.

Dari segi penjimatan kos operasi, loji biogas ini akan turut menghasilkan gas metana secara percuma yang mana akan dapat digunakan untuk menjana tenaga elektrik dan menggantikan penggunaan diesel untuk genset (penjana diesel) di kilang serta ladang berhampiran.

Menurutnya, dianggarkan sekitar 60 hingga 70 peratus keperluan penggunaan diesel dapat dijimatkan dengan kadar RM400,000 setahun pengurangan kos operasi kilang dan ladang-ladang BWSB. — Bernama

Advertisement