Anda di sini

Acar limau anak Sabah tembusi pasaran Kuwait

Advertisement

Buktikan makanan pembuka selera itu mampu mendapat tempat di peringkat antarabangsa

 Lely menunjukkan produk acar yang telah sebulan dieksport ke Kuwait di Tawau, semalam. Acar limau itu juga bakal dieksport ke 81 negara lain termasuk Poland mengikut peringkat. — Gambar Bernama
DAPAT SAMBUTAN LUAR: Lely menunjukkan produk acar yang telah sebulan dieksport ke Kuwait di Tawau, semalam. Acar limau itu juga bakal dieksport ke 81 negara lain termasuk Poland mengikut peringkat. — Gambar Bernama

TAWAU: Kejayaan anak Sabah, Lely Busok menghasilkan acar limau dan dieksport ke Kuwait dan seterusnya ke Poland pada bulan depan, membuktikan makanan pembuka selera itu juga mampu mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Lebih membanggakan lagi, Lely, 54, berkata acar limau itu akan turut dipasarkan ke 81 negara lain secara berperingkat.

Anak kelahiran Membakut namun bermastautin lebih 30 tahun di Tawau, berkata usahanya mendapat bantuan kerajaan melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang berperanan besar membantu memasarkan produk makanannya ke negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sudah sebulan acar limau ini dieksport ke Kuwait atas bantuan INSKEN dan saya menghantar acar limau ini dalam empat kotak. Setiap kotak itu berisi 100 botol dengan satunya seberat 200 gram,” katanya ketika ditemui pada Hari Koperasi Negara 2017 peringkat Sabah di sini.

Acara tiga hari yang berakhir kelmarin, mengetengahkan hasil usaha lebih 50 usahawan tempatan dan agensi kerajaan termasuk produk makanan.

Produk acar limau Lely yang tiada jenama khusus itu juga boleh didapati di pasar raya Gmart negeri ini dan akan turut diperluaskan ke Semenanjung dan Sarawak.

Menyingkap permulaan perniagaan itu, Lely berkata idea untuk menjual produk hasil resipinya itu timbul sewaktu berusia 20-an lagi, namun pengeluaran secara serius itu hanya dimulakan pada dua tahun lepas.

Rakan-rakan serta jiran menjadi pembeli setia sehingga membolehkannya meraih keuntungan bersih kira-kira RM600 sebulan.

Melihatkan hasil itu serta dorongan suami, saya tekad untuk memajukan perniagaan dengan mengikuti pelbagai platform dan program anjuran agensi kerajaan.

Daripada RM600 itu, pendapatan saya meningkat dan mampu mencecah RM7,000 sehingga RM9,000 sebulan,” katanya yang turut memiliki kilang makanan di Bandar Sri Indah di sini.

Beliau berbekalkan modal sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi penghasilan acar setiap dua bulan dan mendapat bekalan bahan mentah seperti limau nipis dari sekitar Tawau.

Lely yang turut mengusahakan produk ikan pekasam berkata, antara platform terbabit membantunya termasuk koperasi dari segi bantuan panduan mengurus tadbir perniagaan dengan baik serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang menyumbangkan kelengkapan peralatan termasuk periuk.

Pada masa ini, perniagaannya itu diusahakan bersama anak-anaknya dan pekerja lain diambil mengikut permintaan yang diterima.

Bagi setiap proses acar limau, kami menggunakan kira-kira 200 kilogram limau. Ia juga bergantung kepada cuaca kerana limau ini perlu dijemur,” katanya. — Bernama

Advertisement