Anda di sini

Penyerang di Istana Buckingham ditahan

Advertisement
 Seorang anggota polis Britain membuat kawalan selepas menahan seorang penyerang bersenjatakan pisau di luar Istana Buckingham di London. — Gambar Reuters
BERJAGA-JAGA: Seorang anggota polis Britain membuat kawalan selepas menahan seorang penyerang bersenjatakan pisau di luar Istana Buckingham di London. — Gambar Reuters

Insiden berlaku ketika Eropah berada dalam keadaan berjaga-jaga dari siri serangan

LONDON: Seorang lelaki yang menyerang polis dengan pisau di luar kediaman Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham di London telah ditangkap di bawah Akta Terorisme, kata polis semalam.

 Penyerang berusia 26 tahun itu menghentikan keretanya dekat sebuah kenderaan polis dalam sebuah kawasan terhad di luar istana yang terkenal di seluruh dunia itu sekitar jam 8.35 malam kelmarin (waktu tempatan), menurut satu kenyataan Polis Metropolitan.

 “Anggota polis ternampak pisau besar dalam kenderaannya dan cuba menangkapnya,” kenyataan itu menyebut.

 “Ketika menahan lelaki itu, dua anggota polis lelaki mengalami kecederaan ringan pada lengan mereka.

” Anggota polis terbabit memerlukan rawatan hospital tetapi sudah dibenarkan pulang, menurut polis.

 Lelaki itu, yang pada mulanya ditangkap kerana disyaki menyebabkan kecederaan badan yang serius dan menyerang anggota polis, kemudian ditangkap di bawah Akta Terorisme 2000.

 “Penyiasat dari Perintah Anti-Terorisme Polis Metropolitan kini sedang menyiasat insiden itu,” kata polis.

 Insiden itu berlaku ketika Britain dan kebanyakan negara di Eropah berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran siri serangan besar sejak dua tahun lalu – kebanyakannya didakwa dilakukan, atau dikaitkan dengan, pelampau jihad dan beberapa jam selepas satu serangan pisau ke atas askar di Brussels.

 Di Britain sahaja, seramai 35 orang sudah maut dalam tiga serangan di London dan Manchester sejak Mac lalu.

 Dua daripadanya melibatkan sebuah kenderaan yang merempuh pejalan kaki.

 Satu lagi serangan adalah serangan bom pada Mei lalu di sebuah konsert pop oleh bintang Amerika Syarikat Ariana Grande di Manchester yang mengorbankan 22 orang termasuk kanak-kanak.

 Penyerang dalam kejadian kelmarin ditangkap kerana disyaki melakukan kecederaan badan yang serius dan dibawa ke sebuah hospital di London untuk merawat kecederaan dialami.

 Dia kini sudah dibawa ke balai polis sentral London untuk disoal siasat, kata polis.

 “Tindakan cepat dan berani kedua-dua anggota polis membolehkan suspek ditahan dengan sangat cepat,” kata anggota polis, Guy Collings.

 “Orang awam tidak ada sebarang interaksi dengan individu ini di lokasi.

 Ia masih terlalu awal dalam siasatan ini untuk membuat spekulasi lanjut.”

Pengguna media sosial memaparkan video yang menunjukkan armada ambulans dan kereta polis di luar istana, dengan jalan sekeliling yang ditutup sementara polis memeriksa kawasan sekitar.

 Pengguna Twitter, Amir Jan Malik, menulis: “Terkandas di luar Istana Buckingham dengan ramai anggota polis bersenjata.

 Raifal berat dipamerkan, trafik terhenti.”

Saksi Kiana Williamson memberitahu Press Association “terdapat satu van polis dan satu kereta, terdapat juga kereta orang awam yang membelok ke arah kereta polis”.

 “Mereka cuba mengeluarkan lelaki itu dari kereta, sambil menjerit, lebih ramai anggota polis tiba di tempat kejadian dan lelaki itu melawan balik,” katanya.

 “Lelaki itu telah ditahan dan kelihatan hampir pengsan di tepi jalan.

 “Saya tidak melihat kereta itu dipandu tetapi kereta itu telah ditinggalkan di bahu jalan dan seorang saksi menyatakan dia telah memandu ke arah kereta polis,” tambahnya.

 Insiden itu berlaku hanya dua jam sahaja selepas seorang penyerang bersenjatakan pisau menyerang dua askar di Brussels dalam kejadian yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai satu serangan pengganas.

 Ratu Elizabeth II berada di kediaman baginda di Balmoral, Scotland, dan istana berkenaan berkata ia tidak akan mengulas mengenai isu keselamatan.

 — AFP

Advertisement