Anda di sini

Tanah runtuh jejas gunung Alps Swiss

Advertisement
 Gambar video dari udara dirakam kelmarin menunjukkan sebahagian kampung Bondo di Switzerland selepas tanah runtuh melanda sehari sebelumnya menyebabkan lumpur, batu dan tanah mengalir dari gunung Piz Cengalo ke pinggir kampung tersebut, berhampiran sempadan Itali. — Gambar AFP
KUASA ALAM: Gambar video dari udara dirakam kelmarin menunjukkan sebahagian kampung Bondo di Switzerland selepas tanah runtuh melanda sehari sebelumnya menyebabkan lumpur, batu dan tanah mengalir dari gunung Piz Cengalo ke pinggir kampung tersebut, berhampiran sempadan Itali. — Gambar AFP

BONDO: Lapan orang masih hilang kelmarin selepas kejadian tanah runtuh besar-besaran melanda kawasan tepi gunung di pergunungan Alps Swiss, memusnahkan beberapa bangunan dan memaksa pengosongan sebuah kampung.

Kejadian tanah runtuh, yang berlaku pada Rabu lepas, menyebabkan limpahan lumpur, batu dan tanah mengalir dari gunung Piz Cengalo ke pinggir kampung Bondo, berhampiran sempadan Itali.

Kira-kira 100 orang telah dipindahkan, sebahagian dibawa keluar dengan menggunakan helikopter.

Polis mengesahkan lapan pendaki dari Jerman, Austria dan Switzerland telah berada di wilayah Val Bondasca di mana kejadian tanah runtuh berlaku dan telah hilang.

Terdapat kebimbangan mengenai enam orang lagi yang tidak diketahui keadaannya, namun jurucakap polis Graubunden Chiarella Piana kemudian memberitahu AFP mereka telah berlindung di bahagian tepi sempadan Itali.

Tiada kanak-kannak yang dipercayai di antara mangsa yang hilang, Andrea Mittner dari pasukan polis Graubunden memberitahu satu sidang media.

Beberapa keping gambar menunjukkan aliran lumpur tebal dan kotor bergerak menuruni tepi gunung seperti lava, menumbangkan pokok dan memusnahkan sekurang-kurangnya sebuah bangunan yang berada dalam laluannya, dan menimbus separuh beberapa bangunan lain.

“Ia adalah teruk,” Elisa Nunzi, 27, yang menyaksikan kejadian tanah runtuh dari rumahnya di sebuah kampung berhampiran di kawasan yang lebih tinggi, memberitahu akhbar Swiss Blick.

Beliau berkata beliau mula menyedari sesuatu yang pelik ketika sekumpulan besar burung mula terbang ketakutan di sekitar menara gereja, dan ketika satu letupan yang sangat kuat menyebabkan batu-batuan melimpah dari gunung.

“Terdapat begitu banyak. Ia tidak berhenti,” kata beliau, sambil menambah bahawa satu liputan asap dan debu kemudian menutupi Bondo.

“Anda tidak dapat melihat apa-apa dalam masa sejam. Namun anda masih boleh mendengar batu-batuan yang jatuh. Ia berbau seperti gra-nit,” kata Nunzi.

Christian Speck, pengurus hotel di Soglio, beberapa kilometer dari Bondo, memberitahu AFP bahawa “pada masa sarapan pagi, saya dan pelanggan saya telah melihat batu yang jatuh dari tepi gunung dan menggelongsor ke arah Bondo, dalam satu kepulan besar asap. Saya dengan segera memberikan amaran kepada penduduk.”

Mittner berkata operasi mencari dan menyelamat telah memeriksa kawasan seluas lima kilometer persegi, me-libatkan kira-kira 120 pekerja kecemasan, helikopter dan anjing penyelamat.

Polis dan penduduk memberitahu bahawa liputan telefon bimbit di kawasan itu adalah tidak begitu baik, yang mungkin menjelaskan kenapa mangsa yang hilang tidak dapat dihubungi.

Kejadian tanah runtuh telah membawa lumpur dan serpihan sebanyak empat juta meter persegi, pergerakan besar yang tiada henti meliputi 500 meter, menurut pejabat bencana alam wilayah (AWN).

Kejadian itu adalah sangat teruk di mana getaran telah menggerakkan alat seismometer di sekitar Switzerland, yang mengukur bersamaan dengan satu gempa bumi berukuran 3.0 magnitud, kata Perkhidmatan Seismologi Swiss.

Polis menyatakan 12 bangunan ladang, termasuk bangsal dan kandang kuda, telah musnah, sementara lebuh raya selatan utama di Graubunden telah ditutup kepada trafik.

Pihak kementerian luar Austria mengesahkan bahawa satu pasangan dari negara tersebut telah hilang, sementara Blick melaporkan empat orang yang dicari adalah rakyat Jerman.

Kira-kira 100 orang telah dipindahkan dari Bondo dan kampung sekelilinginya, termasuk dari kabin-kabin di Alpine, akibat kebimbangan bagi kejadian tanah runtuh baharu.

Simona Rauch, seorang paderi Protestan di sebuah gereja di Val Bregaglia, sebuah lembah yang mengumpulkan beberapa kampung termasuk Bondo, memberitahu AFP bahawa penduduk tidak menjangkakan akan pergi begitu lama.

“Penduduk pergi dengan cepat, meninggalkan segala-galanya. Mereka tidak membawa apa-apa, kerana mereka memikirkan mereka akan kembali lagi dengan cepat,” kata beliau.

“Tiada sesiapa menjangka-kan bencana sebegini,” tambahnya. — AFP

Advertisement