Anda di sini

Rasuah: Pegawai penyelidik salah guna kuasa didakwa

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pegawai penyelidik di sebuah institut penyelidikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam bagi 10 pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan suapan dengan mengemukakan sebut harga bagi tiga syarikat berjumlah RM272,850.

Norsarimah Shahlan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Norsarimah yang bekerja di Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengemukakan sebut harga bagi tiga syarikat iaitu Arif Wibawa Resources, TT Kasih Enterprise serta Blek Lipis Enterprise berjumlah RM4,065 hingga RM48,065 dengan dia mempunyai kepentingan terhadap kesemua syarikat tersebut.

Syarikat-syarikat itu melaksanakan projek membekal alatan makmal, penyelenggaraan serta perkhidmatan landskap.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di institut penyelidikan terbabit di Seri Kembangan, Serdang di antara Jan 2013 hingga April 2014.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamed Heikal Ismail memohon jaminan sebanyak RM180,000 bagi kesemua pertuduhan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia menyara ibu bapa serta adiknya.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap hujung bulan.

Norsarimah membayar wang jaminan itu. Mahkamah menetapkan 15 Sept ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement