KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 37 tahun dikenakan penjara 15 tahun dan lapan sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan merogol anak kandungnya.
Hakim Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 37 tahun, selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Dalam penghakiman itu, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan di luar munasabah.
Tertuduh merogol mangsa yang hanya berusia 12 tahun pada waktu kejadian, pada 28 Ogos 2013 jam 12 tengah malam, di sebuah rumah kampung, di daerah Kota Belud.
Hukuman yang diperuntukkan sekiranya disabitkan bersalah ialah penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang sepuluh sebatan.
Sepenjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan kes terhadap tertuduh.
Setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih berdiam diri ketika kes di peringkat pembelaan.
Semasa rayuan, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana mempunyai keluarga untuk ditanggung.
Namun Timbalan Pendakwa Raya Akmal Zatul Mohamed Nawi meminta hukuman berat dan memohon mahkamah mengambil kira kekerapan kes berkenaan.
Tambahnya, jenayah yang dilakukan tertuduh amat dikutuk masyarakat dan institusi kehakiman berperanan melindungi kepentingan awam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 4 Mei tahun lalu.