Anda di sini

Enam wanita filipina, mangsa pemerdagangan orang diselamatkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis berjaya menyelamatkan enam wanita warga Filipina kelmarin daripada mangsa pemerdagangan orang untuk eksploitasi seks.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra  berkata keenam-enam wanita yang berumur antara 20 tahun hingga 24 tahun itu diselamatkan hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Peringatan, Jalan Petagas, kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam serbuan berkenaan, kata M.Chandra, tiga suspek, dua daripadanya wanita warga Filipina berumur antara 25 hingga 47 tahun, turut ditahan.       

Mangsa telah masuk ke Sabah lebih kurang 15 hari hingga empat bulan lalu secara berperingkat. Kesemua pergerakan pengangkutan bot dari Filipina hinggalah kenderaan darat telah diuruskan oleh ejen dari Filipina dan ejen tempatan.

Kos pengangkutan akan ditanggung mangsa sebagai  hutang,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Menurutnya, pada mulanya mangsa telah dijanjikan bekerja sebagai pelayan di kelab-kelab malam dan restoran, namun apabila sampai ke Sabah melalui Sandakan, Semporna dan Tawau mereka telah dibawa ke Kota Kinabalu dan ditempatkan di rumah suspek.

Kesemua mangsa telah dikerah menjadi pelayan khidmat seks dan dihantar sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat-pusat hiburan, karaoke dan hotel sekiranya ada permintaan untuk perkhidmatan seks, kata  beliau.

Menurut M.Chandra kesemua mangsa juga mendakwa tidak dibayar gaji atau diberi apa-apa komisen atau ganjaran selama bekerja dengan suspek yang berperanan sebagai ‘bapa ayam’ dan ‘ibu ayam’.

Turut dirampas daripada serbuan berkenaan ialah 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama, mata wang negara Amerika Syarikat, Singapura dan Brunei dan sebuah kereta.

Kesemua suspek direman enam hari  mulai kelmarin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 13 (e) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. — Bernama 

Advertisement