Anda di sini

Suspek ugut ibu kandung diperintah reman dua hari

Advertisement

MIRI: Polis berjaya mendapatkan perintah reman dua hari dari Mahkamah Majistret pagi semalam ke atas seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya.

Suspek, 42, dari Lorong 2 Krokop di sini diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan penolong pegawai penyiasat Sarjan Daveora Julaimi, seorang wanita warga emas telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 6.15 petang, 20 Ogos lalu di rumahnya di Lorong 2, Krokop, seorang anak lelaki telah mengamuk dan memarahinya.

Pengadu memberitahu anaknya sering bertindak sedemikian malah pernah mengugut hendak membunuh bapanya (suami pengadu) kerana berprasangka bapanya ada menggoda isterinya, seorang wanita warga China.

Malah menurut pengadu, anaknya itu juga dipercayai ada terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 10.50 pagi, 22 Ogos lalu, polis berjaya menahan suspek di sebuah bilik sewa di tingkat tiga bangunan di Taman Jade Manis di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Menurut Daveora, reman semalam empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis  melengkapkan kertas siasatan.

Bagaimanapun, Majistret Zuraini Ali Musa hanya membenarkan reman dua hari ke atas suspek dan tempoh reman akan tamat pada 25 Ogos ini.

Advertisement