Anda di sini

Suspek serangan Sepanyol akui sebenarnya sasar monumen

Advertisement
 Kombinasi gambar yang dirakam kelmarin menunjukkan (dari kiri) Chemlal, Oukabir, Karib dan Aallaa ketika dieskot Pengawal Sivil Sepanyol dari pusat tahanan reman di Tres Cantos, Madrid untuk dipindahkan ke Mahkamah Negara. — Gambar AFP
DIDAKWA: Kombinasi gambar yang dirakam kelmarin menunjukkan (dari kiri) Chemlal, Oukabir, Karib dan Aallaa ketika dieskot Pengawal Sivil Sepanyol dari pusat tahanan reman di Tres Cantos, Madrid untuk dipindahkan ke Mahkamah Negara. — Gambar AFP

MADRID: Seorang suspek yang disyaki anggota sel pengganas yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Sepanyol pada minggu lepas mengaku kepada seorang hakim kelmarin bahawa kumpulan pelampau jihad itu telah merancang untuk menyerang beberapa monumen dalam satu serangan yang jauh lebih besar.

Mohamed Houli Chemlal, warga Sepanyol berusia 21 tahun, berkata dia tahu mengenai rancangan tersebut dua bulan lalu, ketika dia, dan tiga suspek lain, dibawa ke mahkamah buat pertama kali sejak serangan berkembar membunuh 15 orang dan mencederakan lebih 100 lagi.

Hanya empat suspek tersebut sahaja terselamat dari sebuah sel yang dianggotai 12 pengganas yang melanggar pejalan kaki dengan sebuah van di sebuah lebuh hias yang sesak dengan pelancong di Barcelona pada Khamis lepas. Beberapa jam kemudian, anggota kumpulan tersebut melakukan serangan serupa di Cambrils yang terletak lebih jauh di selatan.

Selepas pendengaran sepanjang hari di hadapan mahkamah, Chemlal dan seorang lagi suspek, Driss Oukabir, 27 tahun, ditahan reman dan didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan.

Namun lelaki ketiga yang memiliki kereta yang digunakan dalam serangan di Cambrils, Mohamed Aallaa, dibenarkan dibebaskan dengan syarat, kerana menurut hakim bukti terhadapnya lemah.

Hakim memberi diri masa tiga hari lagi untuk memutuskan sama ada suspek keempat, Salh El Karib, yang mengurus sebuah kedai yang membolehkan orang untuk membuat panggilan ke luar negara, harus ditahan reman atau dibebaskan dari tahanan. Pemeriksaan ke atas premis perniagaannya diarahkan lewat kelmarin.

Hakim itu tidak mengikuti permintaan pendakwa, yang berkata keempat-empat suspek harus didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan dan ditahan.

Chemlal, yang memakai pajama hospital dan dengan tangan kanan yang dibalut, cedera dalam satu letupan yang tidak disengajakan di kilang bom sementara kumpulan itu pada petang Rabu lepas. Seorang daripada mereka yang maut dalam letupan itu adalah seorang imam, Abdelbaki Es Satty, yang dipercayai telah mengajar fahaman radikal kepadanya dan suspek muda lain.

Chemlal terselamat kerana dia berada di anjung di luar ketika letupan berlaku.

Dia memberitahu hakim bahawa imam itu mahu meletupkan diri. Sumber kehakiman berkata antara empat suspek tersebut, dua menyalahkan iman tersebut bagi komplot berkenaan manakala dua lagi menafikan mengenalinya.

Polis yang membersih runtuhan di Alcanar yang menjumpai sejumlah besar kanister gas butana, asetona, air beroksigen, bikarbonat, sejumlah besar paku dan peledak untuk mencetuskan letupan, kata dokumen mahkamah.

Ini adalah antara ramuan penting bagi TATP, bahan letupan yang disukai kumpulan Islamic State (IS), yang mengaku melancarkan serangan itu.

Di bawah runtuhan, polis turut menjumpai sehelai kertas yang dimasukkan ke dalam sebuah buku warna hijau, yang menyebut: “Surat ringkas daripada askar IS di wilayah Al Andalous kepada pejuang salib, orang berdosa, golongan tidak adil dan korup”.

Al Andalous merupakan nama wilayah yang diperintah sehingga 1492 oleh orang Muslim yang lebih dikenali sebagai orang Moor.

Namun letupan yang tidak disengajakan dalam kilang bom mereka, sebuah rumah di Alcanar, ke selatan Barcelona, memaksa suspek untuk menukar rancangan mereka.

Selepas kehilangan bom mereka dan dua anggota dalam letupan di Alcanar, kumpulan jihad itu memutuskan sehari kemudian untuk menyewa sebuah van.

Namun mereka sekali lagi mengalami masalah apabila pemandunya terbabit dalam satu kemalangan, tidak jauh dari Cambrils.

Van kedua yang disewa oleh Driss Oukabir digunakan dua jam kemudian dalam serangan di Barcelona.

Di mahkamah kelmarin, Oukabir mengaku menyewa van itu tetapi berkata dia berbuat demikian bagi tujuan bergerak.

Aallaa, yang dibebaskan dengan syarat dan pemilik kereta Audi yang digunakan di Cambrils, berkata ia didaftarkan di bawah namanya atas sebab insurans tetapi adiknya yang berusia 19 tahun, Said, memakainya.

Perbicaraan mahkamah diadakan lima hari selepas serangan kenderaan berkembar itu berlaku.

Polis Sepanyol pada Isnin lepas menembak mati Younes Abouyaaqoub, suspek yang disyaki pemandu van dalam serangan di Barcelona, anggota pelarian terakhir dari sel terbabit. — AFP

Advertisement