Anda di sini

Remaja mengaku sengaja pukul ibu kandung dipenjara dua bulan

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menjatuhi hukuman penjara dua bulan ke atas seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap tuduhan dengan sengaja memukul  ibu kandungnya.

Mohd Irawan Jamaludin, 19, dari Tudan di sini telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan ke atas Fatimah Abdullah @ Lung Lajang dengan memukul bahagian belakang ibunya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi, 2 Julai lalu di rumah keluarganya di Tudan.

Hasil siasatan awal polis mendapati tertuduh bertindak demikian kerana ibunya enggan memberikan wang seperti diminta.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 4 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret menetapkan 13 September depan untuk mendengar laporan sosial seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah atas tuduhan melakukan ugutan terhadap seorang wanita.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,000 berserta dua penjamin tempatan terdiri daripada ahli keluarga sementara menunggu tarikh tersebut.

Willy Louis,18, dari Kampung Tudan di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Demit Jilan, 26, sambil bersenjatakan sebilah pedang samurai.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 pagi, 21 Ogos lalu di sebuah lot di Fasa 6 Lorong Harmoni 3E Kampung Tudan di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement