Anda di sini

Projek jana kuasa tenaga geotermal dijangka siap 2019

Advertisement

TAWAU: Projek pembangunan Jana kuasa Tenaga Geotermal berkapasiti 30MW di Apas Kiri di sini yang dijangka siap pada Mei 2019 bakal memberi manfaat bekalan elektrik kepada kira-kira 15,000 rumah di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Pairin Kitingan berkata projek dibangunkan oleh Tenaga Green Energy Sdn Bhd (TGE) di bawah skim tarif galakan itu turut membantu Sabah Electricity Sdn Bhd kepada pengurangan sistem loss (kehilangan jumlah tenaga dalam sistem)

Pembangunan projek bermula November 2011 itu sekali gus membawa Sabah ke arah mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 800 tan pada setiap tahun,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu mengulas mengenai lawatannya ke beberapa lokasi stesen pam di Tawau semalam, Pairin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau akan menggantikan sebuah pam baharu di Stesen Pam Fajar Kompleks dalam tempoh tiga minggu selepas mengambil kira pam sedia ada rosak dan tidak berfungsi akibat pembuangan sampah ke dalam lurang yang terus masuk ke stesen pam.

Pembaikan keseluruhan sistem M&E di stesen pam itu juga telah ditender oleh ibu pejabat JKR Sabah dan diharap kerja dapat dimulakan seawal Oktober 2017,” katanya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata pihaknya turut memohon RM800,000 daripada Kementerian Kewangan untuk pembaikan paip bocor di bawah tanah di Stesen Pam Central Batu 3, Jalan Apas.

Diharap peruntukan itu dapat disalurkan untuk pihak JKR Sabah membuat pemanggilan tender dan menguruskan perolehan pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pairin mahu menyarankan agar JKR Tawau berhubung dengan pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk menggunakan undang-undang sedia ada dalam menyelesaikan isu kawasan aset pembetungan yang dipagar oleh bengkel swasta berdekatan sehingga menghalang pihak JKR Tawau untuk memeriksa aset berkenaan.

Beliau juga mahu JKR Tawau berbincang dengan MPT bagi menyelesaikan masalah pembuangan minyak hitam daripada bengkel-bengkel ke dalam paip pembetungan di samping masalah lain termasuk kecurian dan kegiatan vandalisme.

Jika tidak dibendung, pembaikan atau penggantian kelengkapan pembetungan tidak akan berguna malah hanya membazir wang kerajaan,” katanya.

Advertisement