Anda di sini

Program HDMI akan diperluas ke semua sekolah

Advertisement
 Yahya (lima kiri) bersama jawatankuasa penganjur serta pelajar Pra-U yang menyertai Program ‘Hebat Diri Melonjak Identiti’.
HEBAT: Yahya (lima kiri) bersama jawatankuasa penganjur serta pelajar Pra-U yang menyertai Program ‘Hebat Diri Melonjak Identiti’.

PUTATAN: Program ‘Hebat Diri Melonjak Identiti’ (HDMI) yang berpotensi membantu menyumbang kepada kebolehpasaran pelajar pra-universiti (Pra-U) akan diperluaskan di sekolah-sekolah di seluruh Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, program yang pertama kali diperkenalkan itu juga dilihat akan membantu mempersiapkan diri pelajar lepasan Pra-U untuk memasuki alam pekerjaan mahupun menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, usaha dilakukan Jawatankuasa Pendidikan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) itu juga akan membantu mengatasi masalah keciciran pelajar untuk memasuki industri pekerjaan serta institusi pengajian tinggi menerusi tapisan temu duga.

Penganjuran program sebegini juga memberi motivasi dan pemacu semangat kepada pelajar supaya dapat meningkatkan kesediaan diri daripada aspek psikologi dan intelektual. Ini bagi membolehkan mereka bersaing untuk memperoleh pekerjaan serta mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Pelajar Pra-U harus menguasai ilmu baharu dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Hebat Diri Melonjak Identiti (HDMI) di Dewan Serbaguna Putatan, di sini pada Selasa.

Program itu disertai oleh 400 pelajar Pra-U dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, SMK Kinarut dan SMK Limbanak.

Yahya yang juga ADUN Petagas menyarankan pelajar Pra-U supaya menguasai ilmu moden dalam bidang sains dan tekologi supaya dapat meningkatkan daya saing negara di peringkat global. Ia seiring dengan inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN 50) bagi melahirkan barisan kepimpinan muda berteraskan kecemerlangan bakat dan akademik.

Beliau juga menasihatkan pelajar Pra-U supaya menitikberatkan tentang kemahiran insaniah kerana dunia hari ini tidak lagi melihat kepada persijilan semata-mata. Persaingan yang semakin sengit dalam alam pekerjaan memerlukan seseorang itu mempunyai kemahiran insaniah yang baik.

Keterampilan diri dan komunikasi yang baik memberi kelebihan kepada seseorang ketika ingin memohon pekerjaan,” jelasnya.

Mengenai program itu, Yahya berkata program sebegitu adalah inisiatif yang baik untuk dijadikan platform mentransformasikan minda dan personaliti pelajar Pra-U terhadap cabaran sebenar dalam dunia luar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPWS merangkap Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni Dr Rozita @Uji Mohammed dan Pengetua Cemerlang SMK Putatan Diuh Balimbang.

Advertisement