Anda di sini

Mengaku salah cedera wanita, lelaki dipenjara dua tahun

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan seorang wanita.

Majistret Zuraini Ali Musa memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 8 Jun tahun ini.

Jimmy Itam, 37, dari Sungai Peking, Tinjar, Baram telah dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan di kedua-dua belah kaki kiri dan kanan Liza Abdullah, 43.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 pagi, 1 Jun lalu di sebuah bilik sewa di Taman Seroja di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Semasa sebutan pertama kes, tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan.

Bagaimanapun, tertuduh yang gagal mengemukakan wang jaminan kemudian ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement