Anda di sini

Lelaki direman enam hari bantu siasatan kes rogol bawah umur

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki yang ditangkap kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman enam hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Nur Hasanah Jamil dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Nur Hasanah memberitahu seorang ibu telah membuat laporan polis dengan mendakwa anak perempuannya yang berusia 17 tahun telah dirogol.

Dalam aduannya, pengadu, 41, mendakwa sekitar jam 12.30 tengah hari, 20 Ogos lalu, anak perempuannya telah keluar bersama seorang lelaki berusia 25 tahun dan bermalam di rumah lelaki terbabit yang terletak di kawasan Lambir.

Ketika ditanya, anaknya mengaku telah melakukan hubungan sulit dengan lelaki terbabit.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 10.20 malam, 21 Ogos lalu, sepasukan polis yang melakukan Ops Cantas berjaya menahan seorang lelaki di Balai Polis Pusat Miri kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Nur Hasanah memberitahu reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 25 tahun dari Kampung Beraya, Batu 1, Bakam di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk mendapatkan laporan perubatan mangsa dari pihak hospital.

Justeru membebaskan suspek lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman selama enam hari sehingga 28 Ogos ini.

Advertisement