Anda di sini

Kerajaan mohon RM200 juta baik pulih aset pembetungan

Advertisement

Kerja baik pulih pembetungan merangkumi seluruh negeri

TAWAU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur memerlukan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk membaik pulih aset pembetungan di seluruh negeri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata permohonan mendapatkan peruntukan itu sudah disampaikan kepada kerajaan persekutuan.

Menjadi harapan kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan ini dalam bentuk geran (daripada kerajaan persekutuan),” katanya ketika ditanya jika status peruntukan yang dimohon itu dalam bentuk ‘soft loan’.

Pairin ditemui pada sidang media di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau di sini pada Selasa, sempena lawatan kerja memantau perkembangan projek di bawah seliaan kementeriannya.

Menurutnya, penyerahan aset pembetungan daripada PBT kepada JKR sudah bermula semenjak April 2015, termasuklah Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Misalnya, di Tawau sahaja kita memerlukan peruntukan sebanyak RM40.96 juta untuk melaksanakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan sistem pembetungan.

MPT sudah menyerahkan 99 aset pembetungan kepada JKR, seperti sembilan tangki ‘septic communal’, 33 stesen pam, 35 loji olahan kumbahan dan dua kolam oksidasi kumbahan.

Turut diserahkan, 20 taman yang disambungkan terus ke paip pembetungan utama dan keseluruhan sistem ini melibatkan rangkaian sepanjang 46,119.10m,” katanya.

Beliau berkata, penyerahan aset-aset itu menjadikan JKR Tawau kini menyeliakan sebanyak 125 aset dengan panjang paip sistem pembetungan berjumlah 75,979m.

Sebelum ini, JKR Tawau memiliki aset pembetungan seperti 22 stesen pam, tiga loji olahan kumbahan dan satu kolam oksidasi kumbahan dengan keseluruhannya melibatkan sistem paip berjumlah 29. 860m.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 75 peratus jumlah keseluruhan aset pembetungan yang diambil alih daripada PBT memerlukan penggantian dan penyelenggaraan peralatan sistem sedia.

Kebanyakan aset terbabit menghadapi masalah komponen mekanikal, elektrikal dan sistem pembetungan itu sendiri, selain akibat vandalisme dan kecurian,” katanya.

Faktor lain termasuklah pembuangan lemak, gris dan minyak dari kedai makan/restoran, pembuangan sisa industri seperti minyak dari bengkel, struktur haram dan pencerobohan kawasan aset pembetungan.

Advertisement