Anda di sini

Kapten Kam Chung Pei srikandi tawan awan biru

Advertisement
Kapten Kam Chung Pei
Kapten Kam Chung Pei

JIKA dulu, masyarakat sering beranggapan jawatan juruterbang hanya untuk golongan lelaki, namun semakin ramai wanita hari ini menceburi bidang penerbangan sekali gus membuktikan mereka mempunyai keupayaan setaraf jika diberi peluang.

Bagi Kapten Kam Chung Pei, persepsi ini sudah berubah kerana wanita boleh mencapai apa jua impian jika ada kemahuan dan minat yang mendalam untuk berjaya.

Berpegang kepada prinsip itu, Kam bertekad menakluki salah satu kerjaya sebelum ini dimonopoli golongan lelaki dan mengetepikan rasa gentar untuk terbang tinggi sebagai juruterbang.

Hari ini, beliau gembira kerana impian itu sudah tercapai dan paling membanggakan beliau merupakan wanita pertama di Sarawak diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai juruterbang penerbangan am atau general aviation (GA).

Saya tertarik dengan cara pengendalian kapal terbang itu dilakukan lantas saya berfikir alangkah seronoknya jika saya sendiri mengendalikan pesawat itu bukan hanya menjadi penumpang. Itulah sebab saya memilih kerjaya ini.”

Bidang penerbangan merupakan ‘cinta pandang pertama’ saya. Pengalaman berada di dalam kapal terbang sering membuat saya berasa teruja. Saya percaya, jika kita mencintai kerjaya itu, tiada apa yang dapat menghalang untuk mencapainya,” katanya kepada Utusan Borneo semasa ditemui di pejabat Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd (LLA) di Terminal 2, Lapangan Terbang Miri, Jumaat lalu.

Hadir sama Pengarah/Pengurus Operasi LLA, Kapten Irwin M. Menezes dan Pengurus Besar LLA, Chan Chuan Lee.

Anak kelahiran Miri ini berkata, beliau mula memikirkan secara serius untuk menceburi kerjaya penerbangan semasa berada di institusi pengajian tinggi.

Katanya, minat itu datang sendiri memandangkan tiada seorang pun ahli keluarganya menceburi bidang itu.

Beliau kemudian mengikuti kursus di Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) Batu Berendam, Melaka pada 2008 dan tamat pengajian dalam tempoh 18 bulan.

Semasa kumpulan saya, seramai 23 pelajar mengikuti kursus dan daripada jumlah itu hanya empat perempuan manakala selebihnya lelaki,” ceritanya.

Kam bergraduan pada 2010 dengan lesen CPL/IR dengan 200 jam penerbangan keseluruhan.

Beliau mengambil masa selama tiga tahun mendapatkan jawatan di LLA sebagai eksekutif operasi penerbangan memandangkan pada masa itu tiada kekosongan untuk jawatan juruterbang.

Dalam tempoh tersebut, Kam bertanggungjawab memantau penerbangan dan melakukan kertas kerja yang perlu.

Menurut Kam, beliau banyak menimba pengalaman dan pengetahuan cara bekerja dari bawah dan pada 2013 LLA menaikkan jawatannya sebagai First Officer dan memberikan peluang mengendalikan pesawat jenis Nomad N22C.

Saya masih ingat tugas pertama iaitu membawa jawatankuasa pilihan raya bersama ketua juruterbang, Kapten Irwin Menezes. Dalam tempoh lima hari, beliau membimbing saya untuk melakukan penerbangan kebanyakan di padang terbang (STOLport) kawasan pedalaman antaranya Marudi, Bario, Long Akah, Bakelalan dan Lawas.

Ia merupakan pengalaman baharu kerana berbeza dengan pengalaman semasa belajar di akademi. Namun cabaran ini menambah keseronokan saya untuk terbang,” kata Kam.

Selepas empat tahun bertugas sebagai First Officer, pada Ogos tahun ini kerja keras beliau tidak sia-sia apabila beliau mencapai jumlah jam sebagai Pilot-in-Command (PIC) dan dinaikkan pangkat sebagai kapten.

Kam menambah, sebagai PIC, beliau mempunyai lebih banyak tanggungjawab termasuk memastikan keselamatan pesawat dan kru.

Tugas utama adalah berkaitan fotografi dari udara, penyukatan dari udara, medevac (pemindahan pesakit), bodevac (pemindahan mayat) dan perkhidmatan penerbangan sewa khas.

Kami kerap melakukan kerja pemetaan dari udara untuk sektor swasta dan agensi kerajaan. Selain itu memindahkan pesakit dari hospital ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dengan cara yang pantas iaitu melalui udara.”

Selain itu pemindahan mayat dari lokasi kejadian ke hospital kerana mustahil untuk menggunakan jalan darat terutama jika lokasinya jauh di pedalaman yang mengambil masa lama. Peluang menyelamatkan orang lain memberikan kepuasan yang amat tinggi nilainya,” kata Kam.

Setakat ini, penerbangan yang paling jauh dilakukan ialah dari Miri ke Lapangan Terbang Subang.

Kam menambah, seperti kebanyakan juruterbang yang lain, keadaan cuaca buruk seperti hujan lebat dan angin kuat merupakan saat paling mencemaskan kerana ia turut mempengaruhi penerbangan.

Minggu lepas semasa penerbangan dari Miri–Kuching–Sibu, hujan lebat di Sibu menyebabkan saya terpaksa mendarat. Ia agak mencabar kerana kami jarang melakukan pendaratan dari satu lapangan terbang ke satu lapangan terbang.

Pada waktu begini saya perlu membuat keputusan sama ada untuk menangguhkan penerbangan atau sebaliknya. Banyak faktor perlu diteliti untuk memastikan ia tidak menjejaskan operasi pada keesokan hari.”

Setakat ini Kam mencapai 1,100 jam penerbangan.

 (Dua dari kanan) Irwin, Kam dan Chan bersama kakitangan LLA yang lain semasa meninjau pesawat yang dikendalikan syarikat itu.
KERJA MENCABAR: (Dua dari kanan) Irwin, Kam dan Chan bersama kakitangan LLA yang lain semasa meninjau pesawat yang dikendalikan syarikat itu.

Perbezaan juruterbang penerbangan am (GA) dan penerbangan komersial

Secara ringkasnya, GA merujuk kepada semua operasi penerbangan awam selain daripada perkhidmatan udara berjadual dan operasi pengangkutan udara tidak dijadualkan untuk bayaran atau sewa.

Operasi GA berbeza dengan juruterbang komersial kerana kami tidak mempunyai jadual tetap dan boleh disewa untuk terbang pada bila-bila masa.

Saya percaya setiap juruterbang mahukan kerjaya penerbangan untuk pesawat komersial. Namun saya percaya, menceburi GA merupakan satu permulaan yang baik selain penerbangan komersial sebelum melangkah jauh dalam bidang ini,” katanya.

Kam baharu menamatkan zaman bujang turut berterima kasih kepada LLA terutama Kapten Irwin dan Kapten Mitchell Shaeffer yang banyak membimbing sehingga sampai ke tahap sekarang.

Selain itu kedua-dua ibu bapa, Datuk Kam Pau Siong dan Datin Shirley Thou serta suami, Alvin Loh yang sentiasa memberikan sokongan dan menyayangi saya tanpa mengira apa jua keputusan yang dilakukan,” katanya ceria.

Sementara itu Kapten Irwin berkata, Kam bukan hanya seorang juruterbang yang berani dan komited, namun arif mengenai tugas kerana beliau bermula dari peringkat bawah.

Sepanjang bertugas di LLA bermula sebagai eksekutif operasi penerbangan sehingga ke jawatan kapten, Kam banyak menimba pengalaman bernilai menjadikan beliau seorang juruterbang wanita yang serba boleh.

Kam boleh mengendalikan operasi di peringkat bawah sehingga operasi di awan. Beliau bukan hanya tahu tugasan, tetapi tahu bagaimana melaksanakannya dengan cemerlang,” kata Irwin.

  • oleh
  • Advertisement