Anda di sini

Hato ragut nyawa di Macau, jejas HK

Advertisement

Amaran Taufan 10 dinaikkan pihak berkuasa sebelum ribut kuat itu badai China

 Sampah-sarap dan busa pembungkusan memenuhi kaki lima jalan setelah Hong Kong dilanda banjir kilat susulan kemaraan Hato, semalam. — Gambar Reuters
TERJEJAS: Sampah-sarap dan busa pembungkusan memenuhi kaki lima jalan setelah Hong Kong dilanda banjir kilat susulan kemaraan Hato, semalam. — Gambar Reuters

HONG KONG: Taufan Hato menyebabkan tiga maut di hab perjudian Macau semalam ketika huru-hara dan kemusnahan disaksikan di wilayah tersebut selepas ia membadai wilayah berjiran Hong Kong.

Media tempatan menunjukkan banjir teruk menenggelami kereta dan beberapa orang berenang di jalanan bandar Macau, tatkala kasino mega di wilayah itu berfungsi dengan alat jana kuasa elektrik sokongan.

Tiga lelaki berusia antara 30 hingga 65 tahun maut, menurut kerajaan Macau, manakala dua hilang.

Seorang lelaki mati akibat kecederaan ditimpa dinding tumbang setelah ditiup angin kuat, satu lagi jatuh dari teres tingkat lima dan mangsa ketiga adalah pelancong China yang dilanggar trak.

Apple Daily menunjukkan rakaman orang ramai berenang meredah air berlumpur yang menenggelami jalan raya, malah ada yang terjatuh ditiup angin kuat.

Penduduk Macau menyuarakan aduan mereka di media sosial mengenai gangguan bekalan tenaga elektrik dan rangkaian telefon bimbit yang meluas.

Brian Chan, 31, mendakwa pihak berkuasa gagal memberi amaran mencukupi tentang ketibaan ribut tersebut dan tidak bersedia sama sekali, sekali gus menggambarkan wilayah itu terjejas sepenuhnya akibat dibadai taufan.

Bekalan air juga terhad dan 50 penerbangan dibatalkan, menurut pihak berkuasa.

Sementara itu di Hong Kong, taufan membawa angin dan hujan lebat menyebabkan pembatalan ratusan penerbangan dalam ribut paling kencang sejak lima tahun lalu.

Kerajaan berkata, 84 cedera dan 280 lagi berlindung di pusat perlindungan sementara.

Balai cerap cuaca menaikkan amaran taufan kepada maksimum Taufan 10 ketika taufan tersebut melanda, kali ketiga sejak 1997.

Taufan melepasi wilayah itu sejauh 60 kilometer dan mendarat tengah hari semalam di bandar selatan tanah besar China Zhuhai.

Ribuan penduduk di beberapa bahagian di selatan China kelmarin dalam persiapan menjelang ketibaan ribut, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

Hato menyebabkan ombak setinggi beberapa meter menghempas pantai dengan banjir di beberapa kawasan sedalam dua kaki.

Ribut selaju 207 kilometer sejam (kmsj) menerbangkan puing, menumbangkan pokok dan aram-aram, selain merosakkan kren pembinaan dan memecahkan tingkap menara pencakar langit.

Pokok tumbang menyebab-kan jalan raya terputus di beberapa bahagian, dengan Taman Victoria menyaksikan kemusnahan teruk.

Saya berada di atas beranda di perkampungan Yuen Long apabila sebatang pokok ‘terbang’ melintasi rumah saya,” kata Dave Coulson dari wilayah desa New Territories di bahagian barat laut, dan menambah dia kerap mengalami gangguan bekalan elektrik.

Jalan raya yang lazimnya sesak kelihatan lengang ketika ribut membadai pada kemuncaknya, melainkan beberapa penduduk yang cuba meredah ribut.

Ada yang keluar dengan kamera untuk mengambil gambar dan merakamkan taufan dengan video.

Seorang penduduk Taman Lohas membawa anak perempuannya yang kecil mengalami keadaan cuaca.

Bandar raya itu menyaksikan taufan terkuat pada 1962 apabila pusat Taufan Wanda melintas dan ribut selaju 284 kmsj direkodkan.

Ia mengorbankan 130 orang dan memusnahkan ribuan kediaman, menyebabkan 72,000 orang tiada tempat tinggal.

Kali terakhir isyarat Taufan 10 dinaikkan di Hong Kong adalah untuk Taufan Vicente pada 2012. — AFP

Advertisement