Anda di sini

Tekong, 17 kru kapal nelayan Vietnam dihukum kerana ceroboh perairan Sarawak

Advertisement

KUCHING: Seorang tekong kapal nelayan Vietnam dikenakan denda RM170,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan menceroboh perairan negara ini.

Sementara itu, di mahkamah sama 17 awak-awak setiap satunya dikenakan denda RM80,000 atau penjara enam bulan atas kesalahan sama.

Kesemua mereka berusia antara 21 dan 60 tahun mengaku bersalah di bawah Seksyen 16(3), Akta Perikanan 1985 yang dibaca bersama Seksyen 24(1) akta sama dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25(a) akta sama (Akta 317).

Mereka memasuki perairan Sarawak dan ditahan kira-kira 61.6 batu nautika dari Tanjung Sirik di sini pada kira-kira jam 11 pagi 15 Mei 2017.

Pendakwa raya Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Stella Augustine Druce memberitahu Hakim Timothy Finlayson Joel, semua tertuduh mempunyai niat sama iaitu memasuki perairan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram.

Beliau menambah, nelayan-nelayan berkenaan tidak memaklumkan pihak berkuasa menerusi peralatan komunikasi seperti radio, teleks dan faksimili.

Antara barangan yang dirampas daripada nelayan-nelayan berkenaan ialah kapal (menangkap ikan), pasport, buku pelaut serta beberapa peralatan serta kelengkapan menangkapikan termasuk hasil tangkapan mereka.

Advertisement