Anda di sini

Lelaki curi motosikal dipenjara dua tahun

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana kesalahan mencuri sebuah motosikal.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohamad Haffiz Fadzil, 27, dari Kampung Sungai Layar, Kubang Pasu, Kedah didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh didapati mencuri sebuah motosikal berharga RM5,000 kepunyaan Kamaruzaman Ismail, 34.

Beliau didakwa mengakukan kesalahan itu jam 11.30 pagi, pada 6 Januari 2016 di kawasan belakang Hotel Mega di sini.

Sementara dalam satu kes berasingan, tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan tunai RM2,500 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan mencuri sebuah motosikal kepunyaan seorang lelaki lain.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Berdasarkan pertuduhan kes, Mohamad Haffiz dituduh mencuri sebuah motosikal berharga RM2,500 kepunyaan Muhammed Zahlan Mat Isa, 28.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 10.45 pagi, pada 15 Januari 2016 di tempat letak kenderaan di hadapan Pasar raya Servay di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement