Anda di sini

Bintang Kecil Ke-31 Zon Sarawak tampilkan kelainan

Advertisement
 Montogomary (belakang, dua kiri) bergambar bersama finalis dan jemputan yang hadir semasa sidang media Bintang Kecil Ke-31 Zon Sarawak di Kuching semalam.
BINTANG KECIL 2017: Montogomary (belakang, dua kiri) bergambar bersama finalis dan jemputan yang hadir semasa sidang media Bintang Kecil Ke-31 Zon Sarawak di Kuching semalam.

KUCHING: Bintang Kecil Ke-31 Zon Sarawak bakal tampilkan kelainan dengan finalisnya wajib mendendangkan dua buah lagu iaitu satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris.

Perkara itu didedahkan oleh Pemangku Pengarah Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Montogomary Montahar kerana percaya setiap enam finalis yang dipilih mempunyai kekuatan masing-masing dalam mempersembahkan lagu dalam dwi-bahasa tersebut.

“Kelainan tahun ini berbanding tahun sebelumnya adalah bagi nyanyian solo finalis dikehendaki menyanyi di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk nyanyian lagu kedua.

“Pihak kita juga menggalakkan orang ramai untuk datang dan memberi galakan kepada para finalis dan kita memberikan 300 tiket terhad secara percuma pada malam persembahan itu nanti,” katanya di sidang media Bintang Kecil Ke-31 Zon Sarawak di sini sema-lam.

Para peserta yang telah berjaya mendapat tempat di hati juri adalah Cameiellya Edward, 11 tahun (Bintangor), Nur Ain Nadzirah Ahmad Safrie, 11 tahun (Kuching), Siti Nur Aisyah Mat, 11 tahun (Pusa, Betong), Syauqi Imani Ibrahim, 11 tahun (Sibu), Nor Mohamed Muzaid, 10 tahun (Spaoh, Betong), 10 tahun dan Mayshelly Dviveoly Markury juga 10 tahun dari Limbang.

Bintang Kecil Zon Sarawak akan diadakan di Auditorium P.Ramlee tepat jam 8.30 malam pada 26 Ogos ini.

Tetamu jemputan pihaknya pada malam itu bagi mewakili Ketua Menteri adalah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Rang Undang-undang, Hubungan Kerajaan Neheri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Persembahan keenam-enam peserta akan disiarkan secara langsung menerusi SARAWAKfm dan radio online-www.rtmsarawak.gov.my/SARAWAKfm.

Manakala bahagian televisyen akan membuat rakaman dan akan disiarkan di TV1 pada bulan November nanti iaitu sebelum bermulanya Konsert Pertama, Kedua dan Kemuncak Bintang Kecil 2017 nanti.

Hadiah-hadiah yang telah disediakan pihaknya pula bagi tiga peserta terbaik adalah RM2,000, piala dan sijil penyertaan.

Sementara hadiah saguhati untuk tiga lagi peserta RM1,000, piala dan sijil penyertaan.

Pemenang ketiga Kemuncak Bintang Kecil 2014 dan Persembahan Terbaik Kemuncak Bintang Kecil 2015, Mohd Harris Mukhriz Harun akan menghiburkan para penonton pada malam itu.

Penyanyi Sufian Suhaimi yang popular dengan lagu ‘Terakhir’ juga akan turut membuat persembahan.

Peserta Bintang Kecil 2017 Zon Sarawak akan diiringi oleh kumpulan D’Aspirasi KOMBO, RTM Sarawak yang dipimpin oleh Eugene Clifford Roland Suboh.

Montogomary berkata beliau berharap apa yang dilaksanakan pihaknya selama ini berupaya menjadi pentas pertama kepada pencinta seni suara dalam kalangan kanak-kanak.

“Agar mereka juga dapat menyesuaikan diri di dalam industri hiburan di samping memupuk keyakinan untuk kecemerlangan masa depan peserta.

“Ia juga berupaya meningkatkan modal insan bagi melahirkan pelapis yang berketrampilan, mempunyai kepribadian tinggi, penampilan yang positif dan kreatif khusus bagi pembangunan industri tanah air,” tambahnya.

Pihak RTM turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di atas sokongan dan kerjasama erat selama 31 tahun penganjurannya

Sebanyak 300 tiket percuma disediakan untuk tempat duduk terhad di Balai Pengawal RTM bermula esok (Khamis, 24 Ogos) dan turut berpeluang untuk menyertai sesi cabutan bertuah.

  • oleh
  • Advertisement