
KOTA KINABALU: Usaha menjaga kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama semua individu dan bukan hanya berharap kepada pihak berkuasa tempatan sahaja.
Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai berkata, penduduk yang mendirikan rumah di pesisiran pantai dan juga sungai dinasihatkan agar tidak sesuka hati membuang sampah ke sungai atau laut.
“Saya harap para penduduk faham mengenai mesej yang disampaikan ini. Jangan menganggap sungai adalah satu ‘tong sampah besar’.
“Marilah bersama-sama melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan persekitaran masing-masing dan juga bandar raya ini,” katanya pada kempen membersihkan Pantai Tanjung Lipat anjuran Hunger Movement, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, keadaan persekitaran yang tidak bersih bukan sahaja memberikan kesan kepada bandar raya ini sebaliknya gaya hidup negatif itu akan dicontohi oleh generasi akan datang.
Yeo berharap usaha yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan itu akan berterusan agar mampu menarik perhatian orang ramai untuk menyedari kepentingan kebersihan.
“Pada hari ini, sejumlah 400 kanak-kanak dari sekitar bandar raya ini menyertai kempen kebersihan di sini.
“Selain itu, kita juga akan bergerak ke Pulau Gaya untuk teruskan program Kasih Sayang di Kampung Lok Urai.
“Kawasan itu sangat kotor, maka kita akan wujudkan satu pusat kitar semula di kampung itu selain membantu membaiki surau dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, DBKK juga akan mengadakan kerjasama dengan Persatuan Tzu Chi bagi memulakan satu kelas kasih sayang kepada 600 murid di kampung itu.
Yeo berkata, kelas itu akan dibahagikan dua sesi iaitu kelas bahasa Malaysia dan Matematik. Guru sukarelawan akan diambil dari persatuan itu dan juga DBKK.
“Usaha itu dilakukan agar kanak-kanak di sana akan memperolehi pendidikan dan kesedaran yang sewajarnya selain mengajar nilai-nilai murni.
“Hari ini kita akan pergi ke pulau itu membuat pemantauan dan setelah persiapan terakhir dilakukan, pusat kitar semula dijangka akan diwujudkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.