Anda di sini

Momentum pertumbuhan ekonomi separuh kedua 2017 dijangka kekal

Advertisement

Kerajaan tidak menyemak semula KDNK, namun unjuran boleh capai

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur mengekalkan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini jika tiada sebarang peristiwa besar berlaku di peringkat global, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata kerajaan tidak menyemak semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2017 daripada unjuran asal 4.3 peratus kepada 4.8 peratus, namun berdasarkan pertumbuhan 5.6 peratus dan 5.8 peratus yang dicatatkan bagi tempoh suku pertama dan kedua, unjuran itu boleh capai.

Pertumbuhan pada separuh pertama 2017 didorong oleh penggunaan swasta dan pelaburan swasta dari segi permintaan. Bagi penawaran, terasnya ialah sektor pembinaan dan pembuatan.

Ekonomi Malaysia sangat berdaya tahan pada masa ini walaupun terdapat kesan akibat faktor luaran, dengan ekonomi masih dapat mencatat pertumbuhan yang baik berbanding negara lain di rantau ini dengan memastikan kemampanannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Para Pengarah Antarabangsa di sini semalam.

Johari berkata beberapa langkah perlu diambil berhubung ekonomi, termasuk meneruskan usaha menangani isu-isu seperti keterangkuman, tadbir urus dan pembangunan ekonomi yang mampan.

Pelaburan dalam infrastruktur awam juga sangat penting untuk meningkatkan keterangkuman, memandangkan jika tidak, mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pinggir bandar tidak akan mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata isu yang memberi kesan kepada dunia boleh muncul dalam masa yang singkat, dan ekonomi Malaysia tidak banyak terkesan seperti yang dilihat dalam krisis ekonomi sebelum ini.           

Menurutnya Malaysia telah mengalami turun naik yang berpanjangan dalam harga komoditi, menyebabkan kerugian hasil sebanyak RM36 bilion berikutan kejatuhan harga minyak, namun pertumbuhan ekonomi kekal mapan, memandangkan ekonomi agak pelbagai.

Mengenai ringgit, beliau berkata mata wang tempatan telah kembali stabil, berikutan langkah kerajaan yang antara lain menentapkan supaya pengeksport menukar mata wang asing kepada ringgit, selain menyekat institusi kewangan daripada terlibat dengan pasaran hadapan luar pesisir tanpa serahan.       

Johari berkata, ini diperlukan untuk terus kekal dalam situasi berjaga-jaga memandangkan faktor yang mempengaruhi ringgit kekal, seperti ketidakpastian yang menyelubungi kadar faedah AS, pertumbuhan ekonomi China dan harga komoditi. — Bernama

Advertisement