Anda di sini

Malaysia ulangi komitmen dukung amalan industri minyak sawit lestari

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia mengulangi komitmennya untuk mengamalkan tunggak 3-P industri minyak sawit lestari, iaitu, People (Rakyat), Planet dan Profit (Keuntungan), bagi menangani pelbagai cabaran dalam pasaran global, termasuk resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) mengenai minyak sawit dan penebangan hutan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata inisiatif kelestarian Malaysia berasaskan kepada prinsip dan kriteria Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Beliau berkata kerajaan memberi mandat bagi pensijilan MSPO menerusi rantaian bekalan minyak sawit Malaysia dan berjanji untuk membekalkan minyak sawit yang 100 peratus diperakui MSPO menjelang akhir Disember 2019.

Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan skim kelestarian ini, kerajaan menubuhkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia,” katanya pada Program Familiarisasi Minyak Sawit Ke-37 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Selain resolusi Parlimen EU, Mah berkata, minyak sawit juga berdepan diskriminasi pelabelan seperti  ‘No Palm Oil’, (Tiada Minyak Sawit) yang dimulakan oleh syarikat makanan di Perancis dan Belgium dan kini menular ke Itali dan Turki.  

Beliau berkata Malaysia percaya kunci bagi mengekalkan industri adalah untuk menangani cabaran dan halangan menerusi data yang boleh dipercayai daripada penyelidikan saintifik. 

Menurutnya, menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), penyelidikan menyeluruh mengenai pemakanan minyak sawit dengan pusat kecemerlangan antarabangsa telah dijalankan.

Saya berbangga menyatakan yang penyelidikan ini telah menunjukkan bahawa minyak sawit adalah minyak yang bermutu tinggi.

Minyak sawit memiliki konfigurasi unik dalam molekul lemaknya di mana asid lemak yang paling diserap adalah asid lemak tidak tepu dan oleh sebab itu, kesan ke atas profil lipid darah hampir sama dengan minyak zaitun,” katanya.  

Mah berkata Malaysia akan terus mengembangkan pasaran minyak sawit di seluruh dunia dengan memperkenalkan produk berasaskan sawit baharu menerusi pejabat serantau MPOB di Amerika Syarikat, Belgium, Mesir, Pakistan, India, Iran dan China.

Pada 2016, katanya, minyak sawit dan produk minyak sawit menyumbang RM67.58 bilion kepada pendapatan eksport negara dan mewujudkan lebih dua juta pekerjaan dalam semua sektor industri, termasuk 650,000 pekebun kecil. — Bernama

Advertisement