Anda di sini

Lebihan akaun semasa Malaysia diunjur susut kepada RM24.7 bilion pada 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebihan akaun semasa Malaysia dijangka merosot kepada RM24.70 bilion tahun ini atau 1.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), berbanding anggaran RM25.10 bilion atau 2.4 peratus daripada KDNK pada 2016.

Dalam nota penyelidikannya semalam, RHB Research berkata ini disebabkan oleh lebihan dagangan barangan yang lebih kecil ketika prospek pertumbuhan import yang lebih kukuh yang kemungkinan akan mengatasi peningkatan eksport.

Defisit yang lebih tinggi dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan hasil daripada peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi, akan menyebabkan lebihan yang lebih kecil,” katanya.

Mengulas mengenai lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran yang meluas kepada RM9.6 bilion pada suku kedua tahun ini (2Q17), berbanding lebihan RM5.3 bilion pada 1Q17, firma penyelidikan itu berkata ia disebabkan oleh lebihan yang lebih besar dalam imbangan dagangan barangan.

Ia juga disebabkan oleh defisit yang lebih kecil dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan pelaburan, namun ia sebahagiannya dikurangkan oleh defisit yang lebih besar dalam akaun pemindahan semasa,” katanya.

Defisit dalam akaun perkhidmatan berkurangan kepada RM5 bilion pada 2Q17 berbanding defisit sebanyak RM6.2 bilion pada suku sebelumnya, yang disebabkan oleh penerimaan bersih dan resit perjalanan bersih yang lebih besar dalam perkhidmatan perkilangan.

Defisit dalam akaun pendapatan juga menyusut kepada RM8.2 bilion pada 2Q17 berbanding defisit sebanyak RM9.9 bilion pada 1Q17, hasil daripada pulangan pendapatan yang lebih kecil yang dibuat oleh syarikat multinasional di Malaysia balik  ke negara asal masing-masing.

Secara keseluruhannya imbangan pembayaran bertukar kepada lebihan sebanyak RM2.7 bilion pada 2Q17, selepas defisit sebanyak RM1.7 bilion pada 1Q17,” katanya. — Bernama

Advertisement