Anda di sini

Kanan ekstrem Kanada mulai lantang

Advertisement

Kekacauan di Quebec City ketika demonstrasi balas aktivis propendatang

 Patrick Beaudry, pengasas dan ketua La Meute, terkandas di tempat parkir bawah tanah bersama para penyokongnya berikutan kehadiran lebih ramai penunjuk perasaan propendatang di luar, ketika suasana tegang menyelubungi tengah Quebec City, Quebec kelmarin. — Gambar Reuters
JANGAN MASUK: Patrick Beaudry, pengasas dan ketua La Meute, terkandas di tempat parkir bawah tanah bersama para penyokongnya berikutan kehadiran lebih ramai penunjuk perasaan propendatang di luar, ketika suasana tegang menyelubungi tengah Quebec City, Quebec kelmarin. — Gambar Reuters

QUEBEC CITY: Pertem-puran meletus kelmarin antara polis dan puluhan antivis antirasis yang muncul semasa rali propendatang di Quebec City, menurut wartawan AFP, tatkala demonstrasi anjuran aktivis kanan ekstrem gagal mendapat sambutan.

Ratusan berkumpul di tengah Quebec City awal petang kelmarin untuk memprotes balas rali kanan ekstrem yang dirancang, yang mana hampir sepanjang hari menyaksikan mereka terkandas di tempat parkir kereta bawah tanah.

Untuk memastikan kedua-dua rali tidak bertembung, polis membuat sekatan keselamatan tetapi mengu-mumkan demonstrasi antirasis sebagai tidak sah selepas beberapa pertelingkahan meletus dan beberapa individu dengan wajah bertutup melontar barang ke arah anggota polis.

Berikutan tindakan keganasan dan vandalisme, demonstrasi ini tidak sah,” menurut polis Quebec dalam Twitter sambil menambah, seorang penunjuk perasaan telah ditangkap.

Demonstrasi antirasis itu membidas rali yang dirancang kumpulan antipendatang kanan ekstrem La Meute yang menyeru penduduk Quebec menuntut ‘kedaulatan’ kerajaan ke atas sempadan negara.

Selain 40,000 pelarian yang diterima Kanada sejak penghujung 2015, ramai pendatang melarikan diri ke utara merentasi sempadan Amerika Syarikat (AS)-Kanada sejak pemerintahan Presiden Donald Trump yang mempunyai pendirian tegas terhadap pendatang.

Pada separuh penggal 2017, kira-kira 6,500 pemohon suaka memasuki Kanada.

Sekitar 7,000 lagi memasuki Kanada melalui Quebec sejak awal Julai, dengan 6,000 daripadanya rakyat Haiti yang berdepan pengusiran dari AS pada penghujung tahun apabila suaka sementara buat 60,000 warga Haiti yang terjejas gempa bumi 2010 akan tamat.

Jumlah mereka melambung daripada 400 pada Mei kepada 3,800 pada minggu pertama Ogos.

Di bawah perjanjian Kanada-AS, pemohon suaka melalui AS tidak dibenarkan masuk di pos pemeriksaan sempadan Kanada, sebaliknya diminta memfailkan permohonan pelarian di AS.

Namun peraturan itu tidak meliputi orang yang sampai di Kanada tanpa disedari, melalui hutan.

Sempadan Kanada-AS adalah yang terpanjang di dunia, tiada pagar di sepanjang hutan tebal dan permukaan bumi bergunung-ganang, malah kawalan keselamatan juga rendah.

Mereka yang melepasti pos pemeriksaan sempadan ditahan Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) tetapi dibenar memfailkan tuntutan pelarian di Kanada.

Tentera telah dihantar untuk membantu mewujudkan sebuah kem dekat sempadan pada awal Ogos lalu, kemudian dengan pantas kem kedua dan ketiga menyusul, diikuti pertambahan kakitangan sempadan, polis dan imigresen.

Sementara itu, kerajaan persekutuan giat menepis maklumat salah yang tersebar tentang cara melanggar undang-undang imigresen Kanada.

Baru-baru ini Menteri Pengangkutan Marc Garneau memberi amaran sesiapa yang berjaya memasuki Kanada tidak semestinya menerima tiket automatik sebagai pelarian.

Hakikatnya, cuma separuh daripada warga Haiti yang memohon tahun lepas diterima sebagai pelarian.

Perdana Menteri Justin Trudeau kerap berbangga dengan sistem pelarian dan imigrsen Kanada, malah menegaskan awal tahun ini: “Kepada mereka yang melarikan diri daripada penindasan, terorisme dan perang, rakyat Kanada akan mengalu-alukan anda.”

Tetapi tatkala kerajaan bergelut menerima peningkatan pendatang, ahli pembangkang dan kumpulan antipendatang mencetuskan kecaman dengan seruan menutup sempadan kepada pemohon suaka.

Di bandar sempadan Saint-Bernard-de-Lacolle, kira-kira 60 kilometer selatan Montreal, penduduknya berbelah bahagi.

Ada yang menerima, ada juga menolak, tetapi saya tidak memihak kepada sesiapa asalkan saya tidak mengetahui jumlah pendatang yang akan diterima masuk dan kosnya ke atas kami sebagai pembayar cukai,” kata Ghislain, seorang pemilik restoran di bandar tersebut. — AFP

Advertisement