Anda di sini

Sepanyol dikejutkan dua rempuhan berdarah

Advertisement
 Mayat mangsa ditutupi kain terbaring di atas jalan raya selepas sebuah van merempuh pejalan kaki berhampiran lebuh Las Ramblas di tengah Barcelona, Sepanyol kelmarin. — Gambar Reuters
MALANG: Mayat mangsa ditutupi kain terbaring di atas jalan raya selepas sebuah van merempuh pejalan kaki berhampiran lebuh Las Ramblas di tengah Barcelona, Sepanyol kelmarin. — Gambar Reuters

BARCELONA: Beberapa pemandu merempuh pejalan kaki dalam dua serangan berasingan yang berlaku dengan pantas di Barcelona dan sebuah bandar tepi pantai Sepanyol yang terkenal, menyebabkan 13 terbunuh dan mencederakan lebih 100 lain.

Dalam insiden pertama, yang diakui oleh kumpulan Negara Islam (IS), sebuah van putih memecut laju di jalan raya yang penuh dengan pelancong di tengah Barcelona pada tengah hari kelmarin.

Kira-kira lapan jam kemudian di Cambrils, sebuah bandar 120 kilometer di selatan Barcelona, sebuah kereta Audi A3 merempuh pejalan kaki, mencederakan tujuh orang awam – salah seorang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal – dan seorang anggota polis, kata pihak berkuasa.

Lima penyerang di dalam kereta ditembak mati, tambah polis. Beberapa orang daripada mereka memakai apa yang kelihatan seperti tali pinggang bom.

“Pengganas tersebut berada dalam kereta Audi A3 dan melanggar beberapa orang sebelum menghampiri peronda polis dan kejadian tembak-menembak meletus,” menurut jurucakap kerajaan wilayah Catalonia, di mana Cambrils terletak di bahagian timur laut Sepanyol.

Markel Artabe, seorang pekerja restoran berusia 20 tahun, berkata beliau berada di taman tepi laut ketika beliau mendengar apa yang beliau anggap pada mulanya sebagai bunyi mercun, namun kemudian menyedari ia adalah tembakan senjata.

Beliau berkata beliau melihat seseorang terbaring di atas lantai “dengan satu das tembakan di kepala”.

Rakan-rakan mangsa menangis sambil meminta “tolong”, tambahnya.

Joan Marc Serra Salinas, seorang pelayan berusia 21 tahun, berkata beliau mendengar banyak tembakan.

“Serta jeritan. Dan semakin banyak jeritan. Saya pergi ke pantai dan tidak bergerak,” kata beliau.

Pihak polis berkata mereka “mempertimbangkan hipotesis bahawa pengganas yang ditembak mati di Cambrils adalah berkaitan dengan apa yang berlaku di Barcelona”.

Beberapa saksi di Barcelona menceritakan semula bagaimana mayat-mayat terbaring di sepanjang dataran terkenal Las Ramblas di mana pemandu mengamuk ketika orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan nyawa mereka, menjerit dalam ke-adaan panik.

Serangan di sebuah bandar yang sangat terkenal di kalangan pelancong dari seluruh dunia adalah yang terbaharu dalam gelombang serangan di Eropah di mana kenderaan digunakan sebagai senjata keganasan.

Ketika para pemimpin du-nia bersatu dalam mengecam kejadian itu, agensi propaganda IS Amaq mengakui bahawa ia dilakukan oleh “anggota tentera” daripada kumpulan pejuang jihad.

Polis mengumumkan penahanan dua suspek, dikenali sebagai seorang rakyat Sepanyol dan seorang lagi rakyat Maghribi, namun berkata pemandu itu masih dalam buruan.

“Kami bersatu dalam kesedihan,” Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy menyatakan dalam ucapan yang disiarkan di televisyen selepas bergegas ke Barcelona, bandar paling besar di Catalonia, sebuah wilayah di timur laut Sepanyol di mana kerajaan pemisah menentang Madrid dalam usaha mencapai kemerdekaan.

“Terutama sekali kami semua bersatu dengan niat kukuh untuk mengalahkan mereka yang ingin merampas nilai-nilai dan cara kehidupan kami.”

Terdapat sekurang-ku-rangnya 18 antara mangsa di Barcelona yang berasal dari negara-negara seperti Pe-rancis, Venezuela, Australia, Ireland, Peru, Algeria dan China, kata agensi perlin-dungan awam Sepanyol.

Belgium mengesahkan salah seorang rakyatnya me-ninggal dunia dalam serangan di Las Ramblas, sementara The Hague menyatakan tiga rakyat Belanda tercedera dan seorang diplomat Greek melaporkan tiga rakyatnya tercedera – seorang wanita dan dua anaknya.

Las Ramblas merupakan salah satu lebuh paling sibuk di Barcelona, dipenuhi dengan barisan kedai dan restoran dan biasanya dipenuhi pelancong dan penghibur jalanan sehingga lewat malam.

Tom Gueller, yang tinggal di jalan berhampiran Las Ramblas, berkata beliau melihat kenderaan memecut di sepanjang dataran.

“Ia langsung tidak me-ngurangkan kelajuannya. Ia bergerak terus ke arah orang ramai di tengah-tengah Las Ramblas,” beliau memberitahu radio BBC.

Polis kelmarin berkata salah seorang suspek yang ditangkap dalam serangan di Barcelona adalah rakyat Sepanyol yang dilahirkan di Melilla, sebuah wilayah Sepanyol di pantai utara Maghribi, dan seorang lagi rakyat Maghribi dinamakan sebagai Driss Oukabir.

Rakyat Sepanyol itu ditangkap di Alcanar, kira-kira 200 kilometer selatan Barcelona, kawasan di mana letupan dalam rumah pada lewat Rabu yang menyebabkan seorang terbunuh dan tujuh tercedera serta dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan kelmarin.

“Kami mengesyaki penghuni rumah telah menyedia-kan bahan letupan,” kata pegawai polis Catalonia, Josep Lluis Traperof. — AFP

Advertisement