Anda di sini

Ekonomi tanpa sempadan, mudah dan menjimatkan

Advertisement
 Fikri menunjukkan kuih dam antara juadah tradisional yang boleh dipasarkan dengan meluas.
LARIS: Fikri menunjukkan kuih dam antara juadah tradisional yang boleh dipasarkan dengan meluas.

BAHAGIAN III

PEGAWAI IT di salah sebuah syarikat swasta di Miri, Andrew Deng berkata, penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian membantu pengguna mengurus waktu dengan bijak.

“Sekarang, kebanyakan urusan, aktiviti dilakukan atas talian. Kita harus menggunakan peluang yang ditawarkan di Internet dan kemajuan teknologi.

Pengguna bijak akan memilih untuk melakukan transaksi online, tanpa perlu berbaris. Ini menjimatkan masa dan boleh dilakukan pada waktu selesa seperti di rumah dan lepas waktu kerja.

Untuk ke kaunter, urusan dilakukan pada waktu pejabat, berdepan masalah mencari tempat letak kereta, berbaris dan keluar pada waktu kerja.

Kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, Internet antara cara paling mudah dan popular untuk mempromosikan perniagaan mereka, tanpa perlu memiliki kedai fizikal.

Kepada pembeli, tempahan boleh dibuat dari katalog dalam laman sesawang dan membuat pembayaran atas talian tanpa perlu keluar dari rumah.

Pengusaha bijak akan memanfaatkan kemajuan teknologi, memanfaatkan aplikasi media sosial popular seperti WhatsApp dan WeChat mengiklankan perniagaan mereka.

Antara caranya ialah menubuh dan mengajak pengguna menyertai ‘group’ di aplikasi tersebut untuk mengiklan dan menjual produk mereka kepada ahli.

“Ekonomi digital bukan hanya untuk jual beli sahaja. Sekarang pejabat atau perniagaan menggunakan dokumen digital seperti PDF dan sebagainya. Ini mengurangkan cetakan dan boleh die-mel. Fail-fail juga boleh di`save’ dalam server, tanpa memerlukan fail besar untuk menyimpan data dan maklumat,” jelasnya.

REVOLUSI PEMIKIRAN

Pembangunan ekonomi digital amat diperlukan di luar bandar bagi memajukan kehidupan bukan sahaja dari segi ekonomi bahkan dari segi komunikasi dan sosial masyarakat.

Pengarah Kenyalang Youth Empowerment Consultantcy PLT, Mohammad Fikri Ali berkata, revolusi dunia tanpa sempadan dan jaringan globalisasi mampu membawa potensi baharu yang ada di luar bandar berbeza dengan apa yang ada di bandar.

Contohnya, ubatan tradisional mampu dipasarkan hinggalah ke luar negeri dan potensi pelancongan di luar bandar juga mampu menarik pelancong dari luar negara datang bertandang.

“Pembangunan ekonomi digital sudah semestinya mampu membawa kemajuan di luar bandar.

Tetapi persoalannya bagaimanakah gerakan revolusi pemikiran untuk mengubah corak pemikiran konvensional masyarakat luar bandar untuk menerima ilmu ekonomi digital? Dan sudah tentunya gerak kerja ini perlu ditumpukan kepada golongan muda yang sudah terdedah dengan teknologi digital ini,” kata Fikri.

Mereka perlu memikul tanggungjawab tanpa mengharapkan orang luar untuk membantu, mengambil peluang yang sedia ada dan ini perlu bermula seawal yang mungkin.

Fikri berkata, anak-anak muda luar bandar harus dididik dan disiapkan dengan segala keperluan untuk memastikan golongan luar bandar juga mampu berjaya dalam dunia digital sekarang.

“Sekiranya kita mahu melihat Sarawak menjadi juara dan ‘role model’ dalam ekonomi digital, tumpuan harus kepada pembangunan luar bandar. Sekiranya ini berjaya, baharulah negeri-negeri lain bahkan luar negara akan tabik kepada kita sebagai negeri contoh yang berjaya meningkatkan ekonomi luar bandar, “ jelasnya.

Fikri juga merupakan Pengerusi SABERKAS Bekenu, Ahli Jawatankuasa Induk Persatuan Melayu Miri dan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kpg Pejuang Kelulit Bekenu Berhad.

TANPA WAYAR DAN KERTAS

Dalam bidang pentadbiran, Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam proses melaksanakan Projek Wireless (Tanpa Wayar) dan Paperless (Tanpa Kertas) untuk menjadikan pengurusan lebih digital.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, projek dikendalikan Sarawak Information System (SAINS) yang dilaksanakan pada penghujung April lalu.

Setelah dilaksanakan sepenuhnya, semua hal berkaitan pentadbiran seperti dokumen dan minit mesyuarat akan dalam format digital.

“Ini juga sebahagian daripada usaha kita untuk menyokong inisiatif Go Green tanpa menggunakan kertas. Dengan menghubungkan majlis dengan perkhidmatan wireless akan membenarkan pasukan pentadbiran mengendalikan kerja mereka secara online,” jelas beliau.

Pada masa sama, pengurusan akan mengurangkan penggunaan kertas termasuk kerja-kerja salinan dokumen mesyuarat untuk para kaunselor (Ahli Majlis) dan kakitangan ketika Mesyuarat Ahli- Ahli Majlis dan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap.

Untuk industri pelancongan, MBM akan menjadikan tahun 2018 sebagai Tahun Melawat Bandaraya Miri (VMY) dalam usaha mempromosikan potensi pelancongan Miri secara menyeluruh.

Dengan kerjasama kerajaan negeri khasnya Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, VMY acara terbaik memperkenalkan

 lain menarik ramai ekspatriat untuk bekerja dan menetap di sini menukar Miri sebagai bandar raya moden dan kosmopolitan.

Ekonomi Miri terus dijana oleh industri pembalakan dan kelapa sawit serta industri perkhidmatan seperti pelancongan dan pendidikan.

Dari aspek bentuk muka bumi, Miri memiliki persisiran pantai cantik, lokasi menyelam dan tarikan alam semula jadi seperti Tapak Khazanah Dunia Taman Negara Mulu dan tasik semula jadi terbesar, Loagan Bunut yang mengangkat imej Miri sebagai bandar raya peranginan.

Dengan jaringan hubungan darat dan udara yang baik, Miri mampu meletak namanya sebagai destinasi pelancongan popular di Sarawak.

Dalam era Internet dan digital, pelancong semakin dekat dengan destinasi pelancongan yang mereka idamkan.

Mengulas isu ini, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sarawak John Teo berkata, e-pelancongan telah meletak organisasi pelancongan besar yang telah lama dikenali berada di halaman sama dengan syarikat tempatan yang kecil dan baharu.

Kerana akses Internet mudah, pengurangan kos, peluang di peringkat global, produk, perkhidmatan dan kastam, lebih ramai pelancong memilih untuk mengurus diri mereka sendiri untuk melancong.

Mereka semakin kurang berharap kepada agensi pelancongan untuk membuat tempahan pakej termasuk penginapan hotel dan hostel.

John memberitahu, terdapat lebih daripada tiga bilion pengguna Internet di seluruh dunia dan sekurang-kurangnya satu bilion laman sesawang.

Ini bermakna, dengan pengurusan bijak dan bajet seimbang, organisasi pelancongan dan hospitaliti boleh mendekati sejumlah besar pengguna atau bakal pelanggan mereka menerusi peralatan digital.

“Media sosial memainkan peranan penting dalam memperkasakan strategi organisasi pelancongan dan hospitaliti atas talian. Sekiranya akaun sosial diuruskan dengan betul, ia akan menjana pulangan pelaburan yang melebihi apa jua bentuk pemasaran,” jelasnya.

John yang juga Pengurus Besar Hotel Meritz Miri menambah, pendigitalan atau digitalisasi industri pelancongan dan hospitaliti akan membawa kepada pencapaian lebih baik dari segi kecekapan dan keberkesanan.

Menurutnya, Internet menawarkan industri hospitaliti dan pelancongan peluang yang hanya dapat

 dicapai secara talian serta menawarkan keupayaan atau kapasiti untuk berhubung dengan jutaan pelancong sebulan dengan hanya satu platform.

Jika diuruskan dengan bijak, media sosial adalah alat paling baik untuk kesedaran dan interaksi. Dengan pulangan pelaburan yang tinggi, ia boleh menghasilkan ribuan share (kongsi status) dari satu post (status di media sosial).

Tentang pengurusan on page (halaman) laman sesawang, pengoptimuman kadar pertukaran adalah penyelesaian terbaik untuk meningkatkan jualan atas talian.

Rekaan umum dan kandungan yang ada pada halaman itu harus diuji untuk penambahbaikan agar laman web terus sesuai dilayari dan dalam keadaan terbaik (optimum).

Mengulas lanjut, John berkata, teknologi digital menjadikan urus niaga perniagaan menjadi jauh lebih mudah dan membolehkan perniagaan seperti hotel dan restoran mengumpul dan menyimpan data dengan lebih cekap.

Ia mewujudkan peluang untuk industri perhotelan mengumpul dan menyimpan sejumlah besar data, termasuk maklumat pekerja dan juga data pelawat, pelanggan, pembekal dan lain-lain.

Data ini mengandungi nama, alamat, nombor keselamatan sosial, alamat e-mel peribadi, maklumat perubatan dan data kewangan.

“Lebih 50 peratus tempahan pelanggan adalah menerusi talian. Pelancongan dan hospitaliti adalah industri terbesar dunia. World Travel and Tourism Council menjangkakan pendapatan sebanyak AS$15 trilion pada tahun ini,” jelas John.

Selain itu, banyak segmen dalam industri hospitaliti menawarkan program ganjaran untuk menggalak pelanggan agar kerap menggunakan perkhidmatan mereka.

Program-program ini semestinya menyimpan maklumat peribadi dan kewangan untuk memudahkan tempahan, pembayaran dan anugerah faedah.

Terdapat juga tempahan dan pembayaran dalam talian serta urus niaga yang diproses `on-site’ melibatkan kad kredit atau maklumat kewangan peribadi lain daripada pelanggan.

Bersambung....

  • oleh
  • Advertisement