Anda di sini

Ambil berat isu halal, pastikan logo halal M’sia yang diguna sah

Advertisement

KOTA KINABALU: Walaupun Pensijilan Halal Malaysia digunakan secara meluas, masih ramai dalam kalangan pengguna Islam tidak mengambil berat isu produk yang halal.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penggunaan beberapa slogan yang merujuk kepada halal tidak dititikberatkan pengguna.

Menurutnya, slogan seperti ‘serve no pork’, restoran seafood, makanan orang Islam boleh mempengaruhi umat Islam yang bersikap ‘acuh tak acuh’ dengan halal haram bagi makanan dan minuman.

Selain itu katanya, ada sesetengah pengguna Islam yang terpengaruh dengan keadaan pekerja restoran yang bertudung atau melihat orang Islam bertudung di dalam premis yang belum tentu sah halalnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan berkenaan supaya memastikan terlebih dahulu logo halal Malaysia yang digunakan itu sah atau sebaliknya.

“Dalam isu ini, orang ramai, pengguna dan umat Islam keseluruhannya hendaklah bekerjasama memberi kefahaman tentang halal haram dalam Islam.

“Sewajarnya usahawan dan peniaga Islam berlumba-lumba untuk bersama-sama menggunakan Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis Perasmian Penangguhan Seminar Yakini Halal Malaysia di sini pada Khamis. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Yusof Abd Abbas.

Arifin berkata, penggunaan sijil halal yang sah bukan sahaja menguntungkan, malah mempunyai pasaran yang lumayan untuk jangka masa panjang.

Pada masa sama katanya, perniagaan yang dijalankan juga lebih berkat dan dijamin pengguna tanpa waswas.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan melalui Dasar Halal Negara banyak membantu usahawan termasuklah Bumiputera dan Industri Kecil Sederhana (IKS) supaya mampu bersaing secara sihat.

“Pensijilan Halal Malaysia juga diiktiraf di peringkat global seperti Jepun, China, Arab Saudi dan Kemboja selain perkongsian kepakaran kita dalam memajukan sistem halal.

“Bagi isu pemegang sijil halal yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Pensijilan Halal Malaysia, tindakan akan dikenakan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 (Takrifan Halal).

“Pemantauan berterusan juga sentiasa dijalankan bagi menjaga kepentingan pengguna dan masyarakat Islam dari sebarang penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Advertisement