Anda di sini

Semua hotel dan organisasi disaran sertai Kempen Kibar Jalur Gemilang

Advertisement
 Hajiji (kiri) melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bersama tetamu kehormat lain.
SEMANGAT MERDEKA: Hajiji (kiri) melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bersama tetamu kehormat lain.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyarankan agar semua hotel atau organisasi di Sabah turut serta dalam melaksanakan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, kempen yang baharu saja dilancarkan itu adalah platform kepada masyarakat untuk menunjukkan rasa penghargaan kepada negara.

Sambutan Hari Kebangsaan amat penting dalam kita mengekalkan perpaduan, kesepakatan sebagai rakyat Malaysia dan semangat kesetiaan serta meningkatkan patriotisme kita terhadap negara yang tercinta.

Ia bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Negaraku Sehati Sejiwa yang berasaskan keharmonian dalam kepelbagaian.

Bagi pihak kerajaan negeri, kita amat alu-alukan program seumpama ini kerana kita percaya ia adalah platform untuk menunjukkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada negara yang telah banyak memberi peluang kepada kita menikmati erti kemerdekaan yang sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Sutera Harbour Resort 2017, di sini pada Rabu.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Musa berkata, walaupun Sabah terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama tetapi tetap mampu membuktikan bahawa negeri ini mampu bersatu hati, saling memahami serta hormat menghormati.

Semangat inilah yang menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan integrasi nasional dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia.

Saya yakin dan percaya, negara kita boleh melangkah lebih jauh lagi sekiranya kita mengambil inisiatif yang positif seperti menyemai nilai toleransi, persefahaman serta sikap saling bantu-membantu antara sesama.

Semangat ini perlu terus disemai dan dipupuk agar kita mampu membina generasi yang mantap serta berupaya mengekalkan semangat perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi, politik dan sosial,” jelasnya.

Tambahnya, organisasi terutamanya yang terlibat dalam industri hospitaliti serta pelancongan memainkan peranan penting bagi menjaga imej baik dalam mempromosikan negara kepada dunia luar.

Sebagai wakil tuan rumah, sesebuah organisasi seharusnya menunjukkan sikap warganegara merdeka yang sebenar dengan menunjukkan nilai budi bahasa yang tinggi serta sifat bersopan santun bagi menjana nama baik negara sekaligus meningkatkan lagi pendapatan dalam industri pelancongan dan menjana ekonomi negara,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Johnny Mositun, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai.

Advertisement