Anda di sini

Semakan semula, pindaan undang-undang lama akan dibuat mengikut keperluan semasa

Advertisement
 Zaleha (lima kiri) dan ahli rombongannya mengambil peluang merakam kenangan bersama Tun Juhar (tengah).
KUNJUNGAN HORMAT: Zaleha (lima kiri) dan ahli rombongannya mengambil peluang merakam kenangan bersama Tun Juhar (tengah).

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negeri Sabah akan menyemak semula dan melakukan pindaan terhadap undang-undang yang perlu dikemas kini mengikut keperluan semasa.

Peguam Besar Sabah Zaleha Rose berkata, undang-undang lama seperti Ordinan Kereta Api perlu dibuat penambahbaikan, yang kini sedang dikemas kini serta dikaji semula.

Terdapat undang-undang yang sedang dikaji dan masih dalam peringkat perbincangan iaitu undang-undang berkaitan pembetungan dan sisa buangan yang menjadi keperluan semasa.

Undang-undang itu akan dibentangkan dalam masa terdekat yang tertakluk kepada persetujuan kabinet semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pagi Rabu.

Mengulas tujuan kunjungan, beliau berkata ia adalah untuk memaklumkan Tun Juhar tentang pelantikannya serta mengenai perkembangan kerja dan undang-undang yang ada di jabatannya.

Zaleha, 56, merupakan Peguam Besar Negeri yang baharu menggantikan Datuk Mariati Robert berkuat kuasa pada 1 Julai.

Selepas itu, Tun Juhar turut menerima kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Alzheimer Sabah Dr Chris Chong Kang Tird bersama ahli rombongannya.

Chris berkata, kunjungan adalah untuk melaporkan kepada Tun Juhar sebagai penaung persatuan berkaitan maklumat aktiviti Persatuan Alzheimer Sabah yang telah dilaksanakan beberapa tahun ini.

Aktiviti itu termasuklah forum awam, ceramah pendidikan dan larian yang melibatkan masyarakat.

Selain itu, pihak kami juga menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk kajian mengenai statistik pesakit Alzheimer khususnya di Sabah,” katanya.

Tambahnya, persatuan itu akan mengadakan seminar pada Oktober nanti tentang cara-cara penjagaan pesakit alzheimer.

Beliau menjemput orang ramai khususnya penjaga pesakit alzheimer untuk turut serta dalam program itu.

Advertisement