LAHAD DATU: Lima lagi kes demam denggi terbaharu dikesan di daerah ini melibatkan dua ibu mengandung serta tiga kanak-kanak.
Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sabah Stanley Chin Yat Min berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes (denggi) yang dilaporkan di Lahad Datu sejak awal Januari tahun ini sehingga semalam adalah sebanyak 113 kes.
Jelas beliau, kelima-lima kes demam denggi terbaharu itu dikesan di Kampung Sharif.
“Daripada lima pesakit yang berusia empat hingga 40 tahun itu, empat daripadanya kini masih menerima rawatan di Hospital Lahad Datu (HLD),” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima tempat pembiakan jentik-jentik telah dikesan dan pihaknya kini akan mengadakan aktiviti pembersihan kawasan selain melaksanakan gotong-royong kampung, yang harus dilakukan secepat mungkin bagi menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik agar wabak itu dapat dikawal dengan berkesan.
“Kita percaya punca wabak ini berlaku akibat persekitaran sampah-sarap yang tidak terkawal di kawasan kampung berkenaan.
“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah pencegahan seperti melakukan gotong-royong sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.