Anda di sini

Bunuh bapa saudara, pekerja luar pantai dihadap ke mahkamah

Advertisement

MIRI: Seorang pekerja sebuah syarikat luar pantai dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan membunuh bapa saudaranya.

Christoper Anau, 34, dari Grace Hill Serene Luak di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Geoffrey Gau, 42.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 5 petang hingga 5.30 petang, 3 Ogos lalu di rumahnya di Lot 6889 Grace Hill Serene Luak di sini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Di hadapan mahkamah, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon agar tertuduh dirujuk ke Hospital Sentosa, Kuching bagi membolehkannya menjalani pengawasan mental sebagaimana arahan yang diterima daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Sentosa, Kuching mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September depan untuk sebutan semula kes.

Advertisement