Anda di sini

Bina, naik taraf sekolah daif tahun depan

Advertisement

Kerajaan kenal pasti sekolah akan dibina dengan keutamaan kepada kawasan yang perlu

 Dr Annuar (dua kanan) berkesempatan melawat SK Salak yang sebahagian daripada strukturnya sudah daif.
SEKOLAH DAIF: Dr Annuar (dua kanan) berkesempatan melawat SK Salak yang sebahagian daripada strukturnya sudah daif.

KUCHING: Kerajaan negeri dijangka akan membina baharu serta menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negeri ini bermula tahun depan.

Menurut Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee, pihaknya kini sedang mengenal pasti sekolah yang akan dibina dengan keutamaan kepada kawasan yang perlu.

Kita akan membina 100 sekolah dahulu untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak, di mana kerajaan negeri akan menggunakan dana sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Anak Angkat XPDC Siswa Kenyalang 1.0 di Kampung Salak dekat sini semalam.

Dr Annuar berkata terdapat 1,020 sekolah di Sarawak yang kini diklasifikasikan sebagai daif.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 400  sekolah adalah daif tahap tiga, di mana strukturnya tidak begitu selamat, sudah berusia lebih 50 tahun dan dibuat daripada kayu.

Sekolah daif tahap tiga ini akan kami beri keutamaan, sesetengahnya tidak perlu bina baharu, cuma naik taraf sahaja dan sebab itu kami sedang meneliti keperluan tersebut termasuk dari segi peruntukan diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Dr Annuar juga berkata rancangan untuk mencantumkan Sekolah Kurang Murid (SKM) di negeri ini juga dijangka mula dilaksanakan bermula tahun depan.

Katanya sebanyak 127 sekolah di negeri ini telah dikenal pasti sebagai SKM, yang memerlukan ia dicantumkan.

Masalah di Sarawak adalah terlalu banyak SKM iaitu mempunyai kurang daripada 150 pelajar.

Sebab itu, pencantuman ini bukan sebab kita hendak mencantumnya serta-merta tetapi banyak faktornya seperti dari segi infrastruktur yang dapat kita kumpulkan dan guru dapat kita satukan untuk memberi opsyen pengajaran yang lebih baik kepada pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Annuar turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 masing-masing kepada JKKK Kampung Salak dan Halaqah Kemajuan Muslim Sarawak (HIKAM) untuk menjalankan program pada masa akan datang.

Program XPDC Siswa Kenyalang 1.0 yang dijalankan pada 17 hingga 20 Ogos ini di Kampung Salak, adalah melibatkan 70 siswa siswi anak Sarawak daripada lebih 10 universiti dari dalam dan luar negara serta disertai lebih 100  isi rumah masyarakat Kampung Salak.

Program ini julung kalinya dianjurkan oleh HIKAM untuk menggembleng siswa siswi anak Sarawak yang sedang kembali bercuti untuk terlibat sama secara sukarela dalam gerak kerja kemajuan dan kebajikan masyarakat.

Bertemakan ‘Bakti Kepada Rakyat’, program berkenaan adalah berkonsepkan keluarga angkat dengan menempatkan para peserta ke dalam keluarga-keluarga angkat di Kampung Salak ketika sepanjang program berlangsung.

Di samping menyelami kehidupan seharian masyarakat setempat, mereka akan turut berkongsi maklumat dan pengalaman sebagai motivasi dan inspirasi buat keluarga angkat masing-masing.

  • oleh
  • Advertisement