Anda di sini

Penduduk Kampung Kenangan II kecewa masalah air muncul semula

Advertisement
 Tangki yang dibina di kawasan bukit Kampung Kenangan II tidak diketahui sama ada berfungsi atau tidak.
BERMASALAH: Tangki yang dibina di kawasan bukit Kampung Kenangan II tidak diketahui sama ada berfungsi atau tidak.

LAHAD DATU: Akibat tekanan air yang rendah dan penjadualan bekalan air tiga kali seminggu, segelintir penduduk Kampung Kenangan II, simpang Tai Wong mengalami gangguan bekalan air sekaligus menjejaskan aktiviti seharian mereka.

Menurut seorang penduduk, Rahmat Janit, 49, masalah itu telah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu namun sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian meskipun beberapa aduan telah diajukan kepada pihak berwajib.

Kami berasa amat kecewa apabila setiap kali aduan yang diajukan hanya menemui jalan penyelesaian untuk beberapa hari sahaja, setelah itu masalah sama akan muncul semula.

Sepertimana kami sedia maklum, salah satu permasalahan adalah disebabkan oleh tempoh masa yang diberikan agak singkat untuk kami memenuhkan tangki masing-masing.

Ini kerana, apabila saluran paip dibuka tekanan air hanya sampai kepada penduduk yang berada di pertengahan bukit sahaja namun tidak sempat sampai ke tempat kami yang tinggal di kawasan bukit yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi akibat tekanan air yang agak rendah,” katanya.

Tambahnya, lebih memburukkan keadaan lagi apabila ada kalanya bekalan air itu langsung tidak sampai ke tempat mereka meskipun telah menggunakan alat pengepam air bagi mendapatkan sumber air, walaupun terpaksa menanggung kos elektrik yang lebih tinggi berbanding penduduk yang berada di kawasan sekitar.

Marhalim Kadir, 46, pula berkata, permasalahan itu turut menjadi beban kepada mereka sehinggakan adakalanya terpaksa membeli air bagi menampung kegunaan harian.

Kami rasa amat kecewa dengan permasalahan yang sering berulangkali terjadi dan berharap pihak yang berwajib khususnya Jabatan Air Cawangan Lahad Datu dapat menjalankan siasatan sekali gus dapat menyelesaikan permasalahan ini demi keselesaan penduduk kampung,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan beberapa siri mesyuarat kampung sebelum itu, penduduk Kampung Kenangan II ada dimaklumkan berkenaan kewujudan tangki besar yang dibina di kampung berkenaan namun tidak mengetahui sama ada ia berfungsi atau tidak.

Berdasarkan permerhatian, kami dapati tangki itu telah siap dibina sepenuhnya namun kami tidak mengetahui sama ada ia berfungsi atau tidak... atau saluran paip telah disalurkan ke kawasan kampung berhampiran.

Ini yang menjadi persoalan kepada kami, kerana kami percaya seandainya tangki itu berfungsi dan disalurkan kepada penduduk kampung, sudah tentu permasalahan berhubung bekalan air tidak akan berlaku,” katanya.

Advertisement