Anda di sini

Lelaki nafi tuduhan ugutan jenayah terhadap lelaki lain

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Niah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki lain.

Ricky Suka, 28, dari Rumah Bulin, Sungai Saeh Ulu Kelatop, Niah telah dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap Hamdan Mat, 45, dengan mengugut hendak menanggalkan gigi dan mencabar mangsa bergaduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 pagi, 19 Jun lalu di pondok pengawal Ladang Maxwell Acre Sdn Bhd.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pegawai pendakwa ASP Mary Ong memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie membenarkan permohonan itu dan menetapkan 12 September depan untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret Batu Niah menetapkan 12 September depan untuk mendengar laporan akhlak seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita.

Manakala remaja terbabit dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,000 dengan ibu bapa sebagai penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.

Remaja terbabit, 17, dari Sungai Sebatuk, Niah telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Selepah Galang, 49.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.20 petang, 3 Julai lalu di sebuah rumah panjang di Sungai Sebatuk, Niah.

Advertisement