Anda di sini

Kekacauan Charlottesville, Trump salahkan semua pihak

Advertisement
 Trump mengadakan sidang akhbar di lobi Menara Trump di Kota New York kelmarin. — Gambar AFP
KERAS: Trump mengadakan sidang akhbar di lobi Menara Trump di Kota New York kelmarin. — Gambar AFP

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan satu lagi krisis politik kelmarin apabila beliau mengetepikan reaksi awalnya kepada perhimpunan aktivis ketuanan orang putih yang ganas di Charlottesville yang berakhir dengan pertumpahan darah, dengan menyatakan “kesalahan dilakukan oleh kedua-dua pihak”.

Presiden Republikan itu, yang sehari lalu dengan serius mengecam perkauman dan menyebut secara khusus kumpulan Ku Klux Klan dan golongan neo-Nazi sebagai “penjenayah dan samseng”, turut menyelar apa yang beliau panggil ‘haluan kiri alternatif’ berhubung rusuhan pada hujung minggu lepas.

Trump berdepan dengan kritikan selama berhari-hari dari seluruh lapisan politik berhubung reaksi beliau kepada rusuhan pada Sabtu lepas di bandar kolej Virginia, di mana perhimpunan oleh golongan neo-Nazi dan aktivis ketuanan orang putih berhubung pengalihan sebuah patung Konfederat meletus dalam pertelingkahan dengan penunjuk perasaan balas.

Pertelingkahan yang ganas itu berakhir dengan pertumpahan darah apabila seorang pemuda berusia 20 tahun yang disyaki penyokong Nazi, James Fields, merempuh penunjuk perasaan anti-perkauman dengan keretanya, menyebabkan kematian seorang wanita dan mencederakan 19 lagi.

Dalam satu pertikaman lidah yang hiruk-pikuk dengan wartawan di Menara Trump di New York, Trump menjelaskan kelmarin bahawa beliau bosan dengan pertanyaan yang berterusan mengenai isu itu.

Saya rasa kesalahan dilakukan oleh kedua-dua pihak,” kata Trump.

Ketika beliau bercakap, Ketua Kakitangan Rumah Putih yang baharu, John Kelly, seorang bekas jeneral Marin, nampak tidak gembira sewaktu presiden memberikan kecaman yang panjang lebar, dan berdiri dengan kaku.

Kita ada satu kumpulan di satu pihak yang buruk, dan kita ada satu kumpulan di pihak lain yang juga sangat ganas. Dan tidak ada orang yang mahu menyebutnya, tetapi saya akan menyatakannya sekarang,” ujar Trump.

Bagaimana pula dengan golongan haluan kiri alternatif yang meluru ke arah, seperti yang anda sebut, golongan haluan kanan alternatif? Adakah mereka ada sebarang rasa bersalah? Sesuatu cerita itu ada dua sisi.”

Bagaimana pula dengan hakikat bahawa mereka meluru dengan belantan dalam tangan mereka, menghayun belantan? Adakah mereka ada sebarang masalah? Saya rasa mereka ada masalah. Bagi saya, ia adalah hari yang dahsyat, dahsyat,” kata Trump.

Selepas sidang akhbar yang tegang itu, ketua kesatuan buruh utama di Amerika Syarikat, AF-CIO, menyertai beberapa eksekutif berkuasa tinggi untuk menarik diri dari panel penasihat perkilangan Trump.

Di luar Menara Trump di mana presiden itu berucap, ratusan orang menunjuk perasaan untuk mengecam perkauman.

Mereka dikelilingi anggota polis untuk mencegah pertelingkahan dengan sekumpulan penyokong Trump tidak jauh dari sana.

Ditanya sama ada beliau mungkin akan melawat Charlottesville atau tidak, Trump, yang dikritik oleh segelintir pihak kerana tidak menelefon mangsa keganasan itu, berkata beliau memiliki salah sebuah kilang pembuatan wain terbesar di AS di kawasan itu.

Presiden telah membeli kilang pembuatan wain itu pada 2011 dan sudah memberikannya kepada asalah seorang anaknya, Eric Trump. — AFP

Advertisement