Anda di sini

‘Flying Squad’ pantau longkang, tanah runtuh

Advertisement
 (Dari kiri) Edward, Yeo dan Jainab pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Daerah di Pusat Operasi Banjir DBKK.
TANGANI BANJIR: (Dari kiri) Edward, Yeo dan Jainab pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Daerah di Pusat Operasi Banjir DBKK.

KOTA KINABALU: Bagi mengurangkan risiko banjir kilat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui ‘Flying Squad’ akan sentiasa memantau longkang tersumbat dan kawasan tanah runtuh sekitar kawasan bandar raya ini.

Dengan adanya pemantauan sebegitu, kerja pembersihan longkang dan pemeriksaan tanah runtuh boleh dilakukan dari semasa ke semasa.

Biarpun setakat ini tiada laporan longkang tersumbat namun, pemantauan perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Edward Yong berkata, walaupun pembersihan longkang dilakukan secara berkala namun, banjir kilat yang berlaku boleh menyebabkan sampah tersumbat di longkang yang ada di sekitar bandar raya ini.

Atas sebab itu, DBKK akan melakukan pemeriksaan dan pembersihan longkang pada hari ini,” katanya yang juga bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal DBKK pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Daerah di Pusat Operasi Banjir DBKK, di sini pada Selasa.

Jawatankuasa berkenaan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Jabatan Meteorologi, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis serta Jabatan Kebajikan Negeri.

Dalam masa yang sama, jawatankuasa ini akan turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (Sabah) untuk mendapatkan maklumat setiap jam mengenai keadaan cuaca.

Edward berkata, taburan hujan luar biasa yang berlaku pada Ahad dan Isnin dari 86 milimeter (mm) - 135mm sehari menyebabkan lima kawasan sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat. Ia termasuklah Pusat Bandaraya, Penampang, Likas, Lido dan Manggatal.

Secara keseluruhannya, lebih 50,000 penduduk di negeri ini terjejas akibat banjir yang berlaku bermula dari Kota Belud sehingga Papar,” jelasnya.

Bagi proses jangka panjang pula, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan melalui JPS untuk melaksanakan Projek Tebatan Banjir di Sungai Moyog sehingga ke Sungai Putatan, Lido dan Sungai Manggatal bagi mengurangkan risiko air sungai melimpah sekiranya hujan lebat turun secara berterusan.

Berikutan hujan lebat yang diramalkan berlaku sehingga Jumaat, Edward menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan menghubungi pihak berkuasa sekiranya mereka terperangkap di kawasan yang banjir. Ia bagi membolehkan bantuan pemindahan dapat dilakukan.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Datuk Yeo Boon Hai berkata taburan hujan kali ini lebih banyak berbanding biasa (30mm-50mm sehari) menyebabkan kawasan sekitar bandaraya tidak dapat menampung air hujan yang banyak dan seterusnya mengakibatkan banjir kilat.

Katanya hujan lebat yang berlaku pada Ahad dan Isnin adalah dua atau tiga kali ganda daripada taburan hujan yang biasa.

Sejak Bilik Gerakan Bencara beroperasi pada petang Isnin, 50 panggilan diterima melibatkan 29 rumah dinaiki air dan 21 laporan mengenai jalan raya tidak boleh dilimpasi akibat banjir sekitar Pusat Bandaraya, Penampang, Papar, Kinarut dan Putatan,” katanya.

Yeo juga menyarankan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya meletakkan barangan penting di tempat tinggi bagi mengelakkan kerosakan.

Menurutnya, memandangkan hujan lebat dijangka sehingga Jumaat, semua pihak berkuasa akan berada dalam keadaan berwaspada dan bersedia untuk sebarang kerja pemindahan dan tanah runtuh.

Pegawai Jabatan Meteorologi Malaysia (Sabah) Irene Benedict pula menyifatkan hujan lebat yang berlaku pada Ogos adalah satu keadaan luar biasa dan ia disebabkan oleh ‘wind pattern’.

Advertisement