Rakyat digesa terus kekalkan keamanan yang dikecapi kini

SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman mengajak rakyat supaya mengambil iktibar daripada sejarah Perang Dunia Kedua untuk terus mengekalkan keamanan negara yang dikecapi kini.
“Hari ini, kita menikmati keamanan... adalah menjadi harapan saya kedamaian yang kita miliki tidak akan terjejas oleh peperangan dan perselisihan.
“Banyak yang perlu dipelajari daripada sejarah yang menyakitkan yang kita kongsi. Justeru, marilah kita mengekalkan perpaduan dan keamanan negara dan janganlah kita membiarkan pengorbanan orang sebelum kita menjadi sia-sia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Memperingati Sandakan 2017 di Taman Peringatan, Batu 8 Sandakan, pagi Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Rod Smith dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Vicki Treadell CMG.
Musa berkata, kelmarin menandakan ulang tahun ke-72 berakhirnya Perang Dunia Kedua. Sejarah masa perang bersama antara Malaysia, Australia dan British adalah peringatan bukan sahaja pengorbanan dan ketahanan mereka yang telah terkorban tetapi juga kehilangan serta kerinduan anggota keluarga.
“Pada pagi yang tenang di taman peringatan ini, kita bertafakur sejenak untuk menunjukkan keinginan berterusan menikmati kebebasan dan keamanan dan mengingatkan diri kita bahawa tidak ada yang mulia tentang peperangan.
“Kita mengingati tawanan perang dan sejarah yang dipaparkan pada Kawad Maut ke Ranau. Kita juga mengingati masyarakat tempatan yang mengambil risiko dan kehilangan nyawa mereka dalam membantu tentera Bersekutu. Semua orang yang terkorban dalam peperangan, tidak kira dari mana asal mereka, adalah pahlawan yang dihormati,” katanya.
Musa juga mengiktiraf usaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Lembaga Pelancongan Sabah dan jawatankuasa penganjur atas dedikasi yang berterusan untuk memperingati mereka yang terkorban dan menjaga kisah hidup mereka.
“Justeru, sangat penting bagi kita, begitu juga anak-anak kita, untuk mengingati bahagian sejarah ini bagi mengetahui apa yang kita telah hilang dan kebebasan yang kita terima sebagai balasannya,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Yuk Ming, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Johniston Bangkuai, ADUN Karamunting Datuk Charles O Pang, Presiden MPS Datuk James Wong dan keluarga mangsa korban.